SIBU: Jumlah peratusan orang ramai yang bersetuju untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan diharap mencapai 70 hingga 80 peratus.

Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Sibu, Dr Annuar Rapaee memberitahu, setakat ini hasil tinjauan menerusi Facebook sejak beberapa hari lalu mendapati hanya 44 peratus dari 26,716 responden setuju untuk vaksinasi.

“Sementara 39.4 peratus masih belum membuat keputusan dan 16.5 peratus tidak setuju dengan vaksinasi. Dengan hanya 44 peratus orang yang setuju untuk vaksinasi, peratusannya terlalu rendah dalam memastikan kejayaan program imunisasi,” ujarnya menerusi langsung Facebook petang semalam.

Menteri Muda Kesihatan Awam itu berkata, Kerajaan Persekutuan menyasarkan 80 peratus penduduk di Malaysia diberi vaksin untuk memastikan program ini dapat berhasil dalam usaha membendung penularan Covid-19.

“Saya berharap supaya hampir 40 peratus orang yang masih belum memutuskan untuk membuat keputusan sehingga kita dapat mencapai sekurang-kurangnya 70 peratus orang untuk mendapat vaksin,” jelasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu turut menjelaskan dakwaan yang mengatakan bahawa vaksin tidak halal adalah tidak benar, setiap vaksin akan melatih sistem imunisasi tubuh untuk menghasilkan antibodi untuk melawan virus, sehingga perlindungan akan berterusan selama beberapa dekad dan bahkan seumur hidup.

“Secara umumnya, vaksin terdiri daripada empat komponen iaitu antigen, adjuvan, pengawet dan penstabil,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, terdapat beberapa jenis vaksin termasuk vaksin yang tidak aktif, vaksin yang dilemahkan secara langsung, vaksin subunit, vaksin toksoid dan sebagainya.

“Untuk vaksin Covid-19, ini adalah vaksin baharu yang merupakan vaksin mRNA untuk melindungi terhadap penyakit menular,” ujar beliau sambil menjelaskan vaksin tidak akan mengganggu inti yang ada di dalam DNA individu.

Walaupun vaksin baharu, katanya, konsep bagaimana vaksin berfungsi sama dengan vaksin lain, dengan ia menggunakan vaksin mRNA yang memberi petunjuk kepada sel-sel kita untuk membuat bahagian yang tidak berbahaya dari apa yang disebut ‘spike protein’

“Spike protein ditemukan di permukaan virus yang menyebabkan Covid-19. Dalam memerangi Covid-19, sel-sel kita akan mempunyai ingatan untuk melawan lonjakan ini,” ujarnya lagi.

Katanya lagi, di bawah Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia (NIP), kerajaan memberikan pelbagai vaksin kepada anak-anak untuk melindungi mereka dari penyakit kanak-kanak termasuk Rubella, Measle, Polio, Tetanus dan sebagainya.

“Saya akan memberikan lebih banyak perincian mengenai vaksin dalam siaran langsung seterusnya,” jelasnya.