Pengajaran subjek kewartawanan pada peringkat ijazah pertama yang diperkenalkan di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang pada 1971, genap berusia setengah abad tahun ini.

Sebagai meraikan ulang tahun ke-50 pengajaran kewartawanan itu, satu forum berjudul Penulisan Buku Kewartawanan Sejak 1971: Satu Perbualan akan dianjurkan oleh Malaysian Press Institute (MPI) dan Persatuan Pengajar Kewartawanan Malaysia (MTJS) pada 24 Februari 2021.

Forum selama dua jam, bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari itu akan bersiaran secara langsung dari Studio MPI di Cyberjaya dan boleh diikuti melalui Google Meet dan Facebook Live MTJS.

Lima orang ahli panel ditampilkan dalam program berformat bual bicara secara santai itu.

Mereka ialah presiden MTJS, Profesor Datuk Dr. Ahmad Murad Merican, Encik Amirul Akhbar, pensyarah kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Encik Ismail Hashim, pensyarah kewartawanan Universiti Selangor, Dr. Mohd Safar Hasim, mantan profesor kewartawanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Datuk Zaini Hassan, mantan penolong ketua pengarang Kumpulan Utusan yang sekarang mengendalikan portal beritanya sendiri, BebasNews.

Sebagai mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan, tiga orang ahli panel akan bersiaran dari Studio MPI manakala dua lagi dari tempat masing-masing – sama ada di rumah atau di pejabat.

Pengerusi MPI, Datuk Dr Chamil Wariya akan bertindak sebagai moderator forum selama 120 minit itu.

Kira-kira 100 orang yang terdiri daripada ahli-ahli akademik dan pelajar bidang kewartawanan serta para wartawan dijangka menyertai perbincangan secara maya.

Para peminat bidang kewartawanan juga dipelawa mengikuti program tersebut.