KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ini diibarat seperti hilang hala tuju dalam berpolitik.

Menurut beliau, ini kerana Presiden Umno  itu memberikan kenyataan bahawa dirinya masih sayang kepada UMNO sedangkan sebelum ini  Dr Mahathir sendiri telah menyuruh membubarkan UMNO kerana UMNO dianggap sudah tiada.

“Tiba-tiba kelmarin Tun Mahathir buat ‘u-turn‘ paling drastik menyatakan beliau bersedia kembali kepada UMNO.

“Kononnya dengan syarat UMNO perlu kembali berjuang untuk bangsa, negara dan agama. Bagaimana agaknya perasaan penyokong dan pemimpin parti Pejuang?” kata Ahli Parlimen bagan Datuk itu  menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), luahan tersebut dinyatakan mungkin disebabkan dirinya kecewa apabila hasrat untuk menjadi perdana menteri buat kali ke-3 tidak menjadi kenyataan.

“Saya fikir rakyat khususnya ahli UMNO boleh menjangkakan punca sebenar mantan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ini membuat pusingan-U setajam itu.

“Ramai lihat beliau kini hilang hala tuju dalam memperjuangkan kepentingan politik peribadi dan kroni-kroninya selepas tidak lagi menjadi perdana menteri ke-7.

“Presiden PPBM telah memecatnya. PH tidak lagi mempedulikannya. Kerajaan Perikatan Nasional tidak luluskan pendaftaran parti baharunya,” katanya.

Beliau turut menyifatkan bahawa Dr Mahathir ketika ini dilihat mencari ‘perumah’ lain atau setidak-tidaknya kembali kepada ‘perumah lama’ untuk terus mendapatkan manfaat ‘nutrisi’.

Bagaimanapun ujarnya, rakyat kini sudah boleh mengetahui bahawa syarat yang ditetapkan oleh Dr Mahathir itu sekadar alasan.

“UMNO tidak pernah seinci berkalih daripada dasar perjuangannya. Ia cuma argumentasi atau dalih untuk menjustifikasikan kehendak kembali kepada parti keramat ini.

“Atau juga ia strategi sama beliau pada Pilihan Raya Umum-14 untuk memainkan sentimen rasa hormat ahli UMNO bagi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional,” tegasnya.