ALOR SETAR: Seorang lelaki maut dipukul dengan sebatang besi oleh rakannya dipercayai akibat salah faham dalam pergaduhan di sebuah rumah di Jalan Kota Sarang Semut, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata mangsa berusia 30-an itu meninggal dunia beberapa jam selepas dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

Menurut Ahmad Shukri seperti yang dipetik Astro Awani, kejadian berlaku kira-kira jam 8.05 pagi di mana pihak polis menerima panggilan daripada orang awam tentang pergaduhan itu.

“Pergaduhan berpunca daripada salah faham antara kedua-dua mereka dan mangsa telah dipukul menggunakan sebatang besi di bahagian kepala dan badan menyebabkan kecederaan parah.

“Mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah dan meninggal dunia tengah hari jam lebih kurang 12 tengah hari,” kata Ahmad Shukri.

Beliau memaklumkan tentang kejadian itu ketika mengikuti operasi sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Alor Setar Selatan, malam tadi.

Susulan kejadian, suspek berusia 30-an itu ditahan sejam kemudian di lokasi tidak jauh dari rumah itu.

Polis turut menemui sebatang besi yang dipercayai digunakan oleh suspek dalam kejadian itu.