JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) telah berjaya menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen dan berjaya menahan tujuh orang lelaki tempatan yang merupakan ahli sindiket ini.

Kejayaan ini merupakan hasil daripada beberapa siri tangkapan sejak 14 Februari 2021 dalam OPS STICKER yang dijalankan secara bersepadu antara JIM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM.

Tujuh anggota sindiket yang ditahan ini berumur di antara 30 hingga 39 tahun. Mereka dipercayai terlibat secara langsung dalam kegiatan penjualan pelekat keselamatan Imigresen tulen yang bercetak kepada sindiket pemalsuan Pas Imigresen.

Operasi ini adalah hasil perkongsian maklumat risikan bersama SPRM dan rentetan daripada beberapa siri tangkapan melibatkan sindiket pemalsuan pelekat keselamatan Imigresen termasuk Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), Pas Lawatan Sosial (PLS) dan lain-lain jenis Pas oleh Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa, JIM.

Sindiket ini dipercayai menjalankan kegiatan menjual pelekat keselamatan tulen dan didalangi oleh rakyat tempatan yang mendapat bekalan pelekat tulen daripada individu yang bekerja dengan sebuah syarikat percetakan yang menjadi pembekal kepada JIM.

Modus Operandi pengedaran pelekat-pelekat ini bermula dengan pekerja syarikat percetakan yang menyeludup keluar sebahagian buku pelekat keselamatan Imigresen dari stor syarikat dan kemudiannya menjual buku pelekat tersebut kepada anggota sindiket dengan harga di antara RM700.00 hingga RM800.00 sekeping (setiap buku mengandungi sebanyak 50 keping pelekat).

Melalui kegiatan penjualan pelekat-pelekat ini, kerajaan dianggarkan kerugian sebanyak RM1,800.00 bagi setiap keping pelekat yang dijual dan digunakan oleh Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) disebabkan JIM tidak dapat mengutip hasil levi, bayaran Pas dan bayaran proses yang ditetapkan kerajaan.

Berdasarkan nilai sebenar setiap keping pelekat PLKS, kerajaan dianggarkan kerugian hampir RM2.16 juta setiap setahun akibat kegiatan sindiket ini, manakala anggota sindiket dipercayai mendapat keuntungan sehingga RM80,000.00 sebulan.

Kegiatan sindiket ini jelas boleh menggugat keselamatan negara serta menyebabkan kepada ketirisan kutipan hasil kerajaan.

JIM tidak akan berkompromi dengan kegiatan seperti ini dan akan meneruskan operasi-operasi bersepadu sebagai langkah berterusan untuk menjamin keselamatan dan kedaulatan negara.

DATO’ INDERA KHAIRUL DZAIMEE DAUD ialah Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia