TATAU: Lawatan ke Dewan Sukan Tatau adalah untuk melihat dan mengenal pasti kesesuaian tempat berkenaan bagi tujuan pemberian vaksin COVID-19.

Residen Bahagian Bintulu Jack Aman Luat berkata, ini bagi memastikan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 yang akan diadakan pada bulan Mac nanti berjalan lancar.

“Untuk memastikan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 berjalan lancar, satu simulasi pemberian vaksin COVID-19 akan diadakan terlebih dahulu.

“Justeru, setiap tempat yang telah dikenal pasti untuk pelaksanaan vaksin COVID-19 akan dipastikan kemudahannya lengkap dan selesa untuk orang ramai,” katanya.

Beliau yang ditemui selepas mengadakan lawatan tapak di Dewan Sukan Tatau pada Khamis menambah, pemberian vaksin COVID-19 ini hanya akan diberikan kepada penduduk yang berusia 18 tahun dan ke atas pada bulan Mac nanti.

Hadir sama Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr. Melvin Chung Hsien Liang, Pegawai Daerah Tatau Calvin Ligong dan wakil dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tatau, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).