KUCHING: Sebanyak 20.68 kilogram bernilai RM1.8 juta daripada pelbagai jenis dadah dirampas agensi penguatkuasaan narkotik bagi tempoh Januari 2021.

Menurut laporan Jawatankuasa Pusat Sehenti, sebanyak 13.9 kilogram dadah jenis syabu atau Methamphetamine, 4.8 kg dadah jenis ganja dan 1.8 kg dadah jenis ketamin.

Manakala jumlah rampasan direkodkan bagi bulan Januari 2021 menunjukkan peningkatan sebanyak 10.92 peratus berbanding dengan rampasan bagi bulan Disember 2020 sebanyak 18.65 kg.

Bagi dadah berbentuk pil pula, sebanyak 1,144 biji dirampas di Sarawak sepanjang bulan Januari 2021. 709 biji pil eramin 5; dan 435 biji pil nospan.

Sementara itu Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) Datuk Seri Fatimah Abdullah mendedahkan, berdasarkan tahap risiko dadah dan substance mengikut daerah bagi tahun 2020, didapati sembilan daerah berisiko tinggi kepada isu berkenaan.

“Bagaimanapun jumlah daerah diletakkan dalam zon berkenaan merekodkan penurunan berbanding sebanyak 15 daerah pada tahun 2019.

“Lokaliti yang berisiko sederhana menunjukkan peningkatan sebanyak lima daerah pada tahun lalu berbanding 15 daerah pada 2019.

“Manakala sebanyak 11 daerah berisiko rendah menunjukkan peningkatan sebanyak dua daerah berbanding 2019 yang hanya sembilan daerah dan tiada daerah bebas risiko dadah pada tahun 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Laporan bulanan Komuniti Pusat Sehenti bagi Menangani Isu Dadah dan Substance (MIDS) Negeri untuk bulan Januari di Bangunan Baitulmakmur II di sini, pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, Fatimah memberitahu seramai 1,992 Orang Kena Pengawasan (OKP) dipantau AADK di Sarawak setakat 31 Januari lalu.

“Bilangan yang direkodkan menunjukkan peningkatan 2.23 peratus berbanding dengan bulan Disember 2020 iaitu sebanyak 1,880 kes.

“Daripada jumlah tersebut, 80.49 peratus berjaya mengekalkan tahap kepulihan mereka, dengan mengikuti sesi rawatan dan bebas dadah dalam bulan Januari 2021,” jelasnya sambil memberitahu jumlah yang kekal pulih sejak 2020 seramai 1,547 orang.