KUALA LUMPUR:  Kementerian Kesihatan (KKM) akan memulakan persampelan menggunakan air liur dan kahak dalaman (deep throat saliva) di peringkat hospital dalam masa terdekat sebelum  diperkembangkan ke fasiliti kesihatan yang lain, kata Menteri Kesihatan.

Menurut  Datuk Seri Dr Adham Baba, penggunaan persampelan menggunakan air liur itu  satu alternatif kepada pengumpulan sampel melalui cara calitan di tekak dan hidung yang diamalkan ketika ini.

Jelas beliau, persampelan bagi ujian Covid-19 dengan menggunakan air liur sudah dijalankan di beberapa negara, bahkan ia lebih murah dan antara kaedah mengumpul sampel paling konsisten.

Beliau berkata, persampelan itu adalah lebih selamat dan tidak invasif berbanding cara calitan tekak dan hidung, selain akan mempercepatkan dan meningkatkan saringan Covid-19.

“KKM akan memulakan persampelan bagi ujian Covid-19 dengan menggunakan airliur (deep throat saliva) bagi membantu negara untuk memerangi pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan..

“Kaedah ini juga bersifat ‘self -collected‘ (dikumpul sendiri) dan akan menjimatkan pemakaian penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE),” katanya.

Dr Adham berkata, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sudah menjalankan penilaian bagi kaedah persampelan menggunakan air liur itu dan ia sesuai bagi ujian RT-PCR Covid 19.

Katanya, ketika ini, IMR sedang melengkapkan kajian penggunaan sampel air liur untuk ujian RTK-Antigen.