KUALA LUMPUR: Di sebalik hebohnya isu sugar daddy dan sugar baby, polis di sini menahan seorang lelaki yang dipercayai pengasas aplikasi Sugarbook.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, tangkapan dibuat di pekarangan sebuah kondominium di Dutamas, di sini.

“Suspek yang berusia 34 tahun ditahan pada 4.30 petang. Permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Shah Alam, pada Khamis.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku sebagai pengasas kepada aplikasi Sugarbook,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Baru-baru ini, masyarakat gempar apabila Malaysia diletakkan pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia di belakang India dan Indonesia bagi negara yang mempunyai bilangan ‘sugar daddy’ paling ramai melalui aplikasi Sugarbook.

Aplikasi itu didakwa menyediakan platform bagi tujuan tidak bermoral  untuk mencari  ‘sugar baby’.

Pelbagai pihak menggesa agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Sugarbook.

Dua hari lalu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah mengambil tindakan menyekat akses ke laman sesawang Sugarbook susulan kenyataan pihak tersebut yang berjanji akan menyiasat laman sesawang berkenaan.

Menurut kenyataan SKMM, laman ini disekat  atas kesalahan didakwa melanggari peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.