KUALA LUMPUR: Gabungan Perikatan Nasional (PN) dan BN berpotensi memperolehi dua pertiga majoriti di parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut kajian senario situasi terbaik menunjukkan PN+BN akan berjaya memenangi sehingga 162 kerusi parlimen berbanding Pakatan Harapan (PH) yang hanya mampu bertahan di 60 kerusi.

Dalam masa yang sama, PN+BN akan berjaya mengembalikan majoriti Islam dan Melayu di Parlimen yang hilang pasca PRU14.

Sekitar 130 kerusi akan diwakili oleh wakil rakyat Islam-Melayu. Gabungan PN+BN juga akan berjaya menambah kawasan parlimen bandar sehingga 20 kerusi.

Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR), Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata, 60 kerusi PH pula didominasi DAP dengan 39 kerusi, PKR (13) dan selebihnya parti-parti gabungan PH yang lebih kecil.

“Analisa tersebut bertepatan dengan majoriti maklum balas rakyat yang dikumpul pada kajian lapangan.

“Mereka bersedia memilih gabungan politik yang kuat, stabil dan inklusif (PN+BN) berbanding satu gabungan yang dilihat eksklusif (Umno+PAS) atau yang didominasi kaum bukan majoriti (PH),” katanya pada kenyataan seperti disiar Harakah.

Kajian itu dilakukan PINTAR, Ikatan Ilmuwan Nasional (ILMUWAN) dan NGO berteraskan penyelidikan QGenAnalysts (QGA) yang diadakan secara kajian lapangan antara Jun hingga Disember 2020.