KUALA LUMPUR: Pemuda Pas menyeru agar pimpinan negara sama ada di peringkat penyokong Kerajaan atau Pembangkang suaya fokus secara bersama untuk menurunkan kadar jangkitan yang diusahakan oleh semua pejuang barisan hadapan kita.

Kata Ketua Pemudanya Senator Khairil Nizam Khirudin, setelah selesai semuanya, berpencaklah di lapangan yang lebih terbuka dalam Pilihan Raya Umum yang telah dimaklumkan tidak lama lagi oleh Perdana Menteri  Tan Sri Muhyiddin Yassin  untuk memimpin negara dengan lebih aman.

“Jika ada tindakan seperti ini dibuat oleh Ahli Parlimen negara kita, hanya semata-mata mahu melaba sokongan yang merapuhkan kedamaian negara, Pemuda PAS mengecam keras perbuatan tidak bermaruah ini! Berasa selamatkah negara kita ketika wabak berat yang melanda seluruh dunia ini seolah tidak dipedulikan hatta sehingga membawa imej buruk ini ke tangan orang luar?,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Ujarnya, Pemuda Pas telah mengikuti perkembangan rapat berkenaan pautan yang dikeluarkan beberapa portal media berkenaan desakan 90 Ahli Parlimen Negara-negara Asean dalam mendesak Malaysia ‘membuka kembali’ Parlimen dalam secara terus menghala desakan ini kepada Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri.

“Jika diamati kembali, kesemua Ahli Parlimen Negara Asean yang mendesak ini adalah daripada Ahli Parlimen di peringkat Pembangkang negara masing-masing dan lebih dangkal lagi, tidak semuanya mewakili Negara Asean. Tambahan, antara yang mendesak ini pula sudah tidak lagi bergelar Ahli Parlimen negara mereka,” tegasnya.

Tanya beliau, Pemuda Pas tidak mahu berbicara panjang berkenaan siapakah mereka ini, tetapi adakah desakan ini datangnya daripada tangan-tangan kotor Ahli Parlimen negara kita sendiri seolah mengadu domba dan membawa imej buruk negara kepada dunia luar?

“Adakah Ahli Parlimen negara ini mahu mencucuh keberantakkan dan kekacauan negara sehingga ‘menghimpunkan’ orang luar untuk meraih simpati politik yang sangat keji sikapnya?,” kata beliau lagi.