PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memperluaskan Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) seperti diumumkan agensinya Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Selasa.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, menerusi penambahbaikan skim ini, ia memberi manfaat khasnya kepada usahawan berpendapatan rendah (B40) di seluruh negara ini.

Menurutnya, perluasan golongan sasaran SPPP ini dijangka membuka peluang kepada 180,000 individu menceburi bidang perniagaan.

“Pada 2021, SSM mensasarkan seramai 30,000 usahawan akan merebut tawaran ini,” katanya menerusi kenyataan media, di sini Selasa.

Alexander yang juga Ahli Parlimen P. 215 Kapit berkata, SPPP dilancarkan pada 23 Disember 2020  kini merangkumi semua bakal usahawan golongan B40 dan tidak terhad kepada usahawan belia, ibu tunggal B40 serta pelajar sahaja. 

Katanya, ini kerana pendaftaran perniagaan diberi percuma (pengecualian fi pendaftaran) kepada golongan sasar B40 ingin memulakan perniagaan serta belum pernah mendaftarkan perniagaan mereka. 

“Sehubungan itu, KPDNHEP dan agensi di bawahnya sentiasa menekankan ‘kemudahan melaksanakan perniagaan’ dan ‘menurunkan kos menjalankan perniagaan’ kerana SPPP merupakan salah satu manifestasi kepada dua falsafah tersebut,” katanya.

Sementara itu, menerusi penambahbaikan skim ini juga ia membolehkan peniaga memperoleh akses pelbagai dana dan pinjaman diperkenalkan Kerajaan Persekutuan bagi kelangsungan operasi perniagaan mereka terutamanya suasana sukar dan mencabar ini.

Selain itu, pemohon layak mendapat manfaat pengecualian fi ialah:

  1. Perniagaan milikan tunggal menggunakan nama sendiri seperti pada kad pengenalan- RM30
  2. Perniagaan milikan tunggal atau perniagaan perkongsian (rakan kongsi terdiri kategori kumpulan layak memohon skim ini) menggunakan nama tred- RM60

iii. Cetakan maklumat – RM10

Syarat-syarat SPPP B40.

  1. Pemegang MyKad/MyPR
  2. Berumur 18 tahun dan ke atas mengikut syarat pendaftaran perniagaan.

iii. Mempunyai maklumat dalam pangkalan data penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 golongan B40. (Semakan boleh dibuat di https://bpn.hasil.gov.my/); dan

  1. Tiada rekod entiti perniagaan yang masih aktif di SSM.

Syarat SPPP pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) Awam atau Swasta.

  1. Pemegang MyKad/MyPR.
  2. Wargenagara berumur 18 tahun dan ke atas mengikut syarat pendaftaran perniagaan.

iii. Pengajian belajar/kursus secara sepenuh masa di mana-mana IPTA/ IPTS/ Politeknik/ Kolej/ Institut Kemahiran/ Pusat Kemahiran dalam negara.

  1. Tiada rekod entiti perniagaan yang masih aktif di SSM.

Sehubungan itu, pemohon layak boleh mengemukakan permohonan secara dalam talian melalui Portal EzBiz Online di pautan ezbiz.ssm.com.my. 

Maklumat lanjut mengenai SPPP boleh menghubungi Pusat Panggilan SSM di talian 03-77214000 atau emel kepada enquiry@ssm.com.my.