KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memberi kesedaran dan kefahaman kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) berhubung isu sosial dan keselamatan siber.

Menterinya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata langkah itu perlu supaya tindakan berkaitan dapat diambil bagi menangani isu pelajar IPT yang didakwa menggunakan aplikasi tidak bermoral untuk mencari ‘sugar daddy’.

Sugar daddy ialah lelaki yang berusia dan kaya yang mencari wanita muda sebagai teman hiburan. Biasanya wanita berkenaan diberi elaun atau imbalan untuk layanan berkenaan.

“KPT telah mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkaitan dengan isu yang telah menjejaskan nama baik universiti dan pelajar baru-baru ini.

‘’Kedua-dua pihak juga telah bersetuju mengambil beberapa tindakan untuk menangani isu ini,’’ kata Noraini menerusi kenyataan dalam Facebook rasminya.

Isu sugar daddy dan sugar baby kembali hangat apabila didakwa membabitkan pelajar universiti di negara ini dengan senarai berkenaan tular beberapa hari lalu.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Malaysia berada  pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia di belakang India dan Indonesia  dari segi bilangan sugar daddy paling ramai melalui aplikasi Sugarbook.

Laporan itu juga mendakwa golongan pelajar dan graduan didakwa menduduki tangga pertama paling ramai menjadi sugar baby, diikuti usahawan, jururawat, guru, peguam, pelayan, pembantu peribadi, jurusolek, model dan ahli farmasi.