KUALA LUMPUR: Sebelas pegawai kanan dan rendah polis bakal dikenakan tindakan tatatertib berikutan laporan kes rogol di lokap Balai Polis Pusat Miri, Sarawak, Januari lepas.

Menurut  Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Zamri Yahya, kesemua mereka dikenakan tindakan tatatertib kerana didapati gagal serta cuai menjalankan tugas.

“Tindakan tatatertib ini akan diambil oleh JIPS (diturunkan pangkat atau dibuang kerja),” katanya dalam  satu   kenyataan semalam.

Kata Zamri,  pihaknya menerima dua laporan polis iaitu laporan pertama dibuat oleh seorang anggota polis yang melibatkan kejadian rogol, manakala laporan kedua dibuat oleh mangsa rogol yang mendakwa kejadian itu berpunca daripada kecuaian polis.

“Kedua-dua kertas siasatan yang dibuka telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan dituduh,” katanya.

Zamri berkata seorang lelaki berumur 19 tahun dituduh di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan pada 12 Jan, manakala bagi laporan kedua pula, kedua-dua anggota polis yang bertugas menjaga lokap itu ditahan kerja bermula 14 Jan dan dituduh di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 pada 9 Feb.

“JIPS telah menjalankan siasatan tatatertib bagi menyiasat kecuaian dan salah laku dalam kejadian itu,” katanya.