KUCHING: Parti  Islam Se-Malaysia (Pas) mengucapkan tahniah dan terima kasih atas tindakan pantas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat laman web Sugarbook.

Ketua Penerangannya Kamaruzaman Mohamad berkata, sekatan yang dibuat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ini merupakan langkah proaktif dan paling tepat bagi mengekang gejala pelacuran daripada terus merebak terutamanya dalam kalangan wanita muda.

“Terima kasih juga diucapkan kepada semua pihak yang cakna dan memberi sokongan padu dalam usaha membanteras gejala maksiat di Malaysia,’ katanya dalam satu kenyataan..

“Tindakan ini merupakan amaran dan bukti kesungguhan kerajaan dan rakyat Malaysia dalam menolak budaya yang merosakkan akhlak dan moral rakyat Malaysia,” katanya lagi..Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah menyekat laman sesawang Sugarbook.

Pada Isnin, didapati laman web tersebut sudah tidak lagi boleh diakses.

“Akses kepada laman sesawang ini dihalang di bawah Seksyen 263 (2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 kerana melanggar undang-undang Malaysia di bawah:

“Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

“Melanggar peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988,” antara makluman yang tertera dalam laman web yang sudah disekat itu.

Sebelum ini, Pas turut menggesa agar Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia digesa untuk mengenakan sekatan penuh ke atas laman web tersebut dan seumpamanya yang berunsurkan seks pelacuran, dari diakses oleh rakyat Malaysia.

Pas berkata, sekatan ini perlu segera dilakukan kerana dibimbangi dengan isu yang hangat ini menjadikan ia ‘pengiklanan jahat’ bagi laman web Sugarbook terus mendapat perhatian ramai yang akhirnya masyarakat tertanya-tanya lantas mencuba laman web tersebut.