Wednesday, June 29, 2022

Wahba: Wartawan dan sasterawan berjiwa rakyat

Secara Rawak

Antara sahabat yang menziarahi allahyarham Wahba yang meninggal dunia pada 14 Februari 2021 di Desa Jaya Kepong. Foto: Baharin Wariya

Sahabat saya, Wan Hamzah Wan Awang, atau dalam dunia sastera lebih dikenali dengan nama pena Wahba, kembali ke rahmatullah semalam pada usia 73 tahun di Hospital Selayang kerana sakit tua.

Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Lagong, Taman Ehsan, berhampiran kediamannya yang terletak di Desa Jaya.

Saya dan allahyarham sama-sama mengikuti kursus asas kewartawanan anjuran Utusan Melayu pada Mac 1971.

Beliau kemudian dilantik sebagai pemberita Utusan di Kuala Terengganu. Saya berkhidmat di Kuala Lumpur.

Antara sahabat-sahabat lama di Utusan yang menziarahi jenazah Wahba yang meninggal dunia pada 14 Februari 2021. Dari kiri: Saya, Ahmad Abdul Hamid, Rosli Azmi, salah seorang anak allahyarham, dan Tan Sri Johan Jaaffar (dua kanan).

Sebelum menyertai Utusan, allahyarham pernah menjadi guru sementara dan pada waktu yang sama berkhidmat sebagai pemberita sambilan Utusan.

Hubungan kami terputus selepas saya berpindah ke Suara Rakyat pada 1975 dan seterusnya berkhidmat dengan BBC di London pada penghujung 1976.

Kami bertemu semula apabila saya menyertai Utusan Melayu pada 1984.

Beliau ketika itu berkhidmat sebagai pengarang majalah Mastika, bahagian majalah Utusan. Saya pula menjadi penulis rencana pengarang Utusan Malaysia.

Kebetulan saya duduk di rumah kakak saya di Jalan 43, Desa Jaya, bersebelahan dengan rumah allahyarham dan kami menjadi jiran.

Wahba adalah seorang sahabat yang baik hati. Sebelum saya membeli kereta sendiri, saya sering menumpang beliau untuk ke pejabat pada sebelah pagi.

Dalam bidang penulisan, Wahba lebih dikenali sebagai seorang sasterawan. Allahyarhyam adalah seorang cerpenis dan penyair yang berbakat.

Karya-karya yang dihasilkan banyak berkisar kepada cerita-cerita masyarakat, rakyat kecil dan juga alam.

Allahyarham juga adalah seorang pengarang buku – sastera dan bukan sastera yang agak prolifik.

Anak kelahiran Terengganu ini sebenarnya tidak banyak bercakap. Beliau membiarkan karya-karya kreatifnya berbicara untuk dirinya dan pemikirannya.

Antara sasterawan Terengganu tersohor yang seangkatan dengan allahyarham adalah T. Alias Taib dan JM Aziz.

Apabila bahagian majalah Utusan menerbitkan majalah sastera, Utusan Karya, sewaktu Johan Jaaffar (Tan Sri, Datuk) menjadi Ketua Pengarang Kumpulannya, Wahba diberi tanggungjawab menjadi pengarang pertama.

Untuk memperkenalkan Utusan Karya kepada khalayak, Wahba menganjurkan deklamasi puisi bulanan dengan badan-badan penulis seperti Persatuan Penulis Nasional (PENA) dan badan-badan kesusasteraan yang lain di peringkat negeri.

Selepas bersara pada usia 55 tahun dari Utusan Melayu, Wahba terus menghasilkan cerpen dan puisi.

Secara peribadi, saya akan mengenang Wahba, bukan sekadar sebagai seorang sahabat, tetapi sebagai seorang wartawan dan sasterawan yang berjiwa rakyat.

Alfatehah. Amin.

Saya bersama abang Jaafar Daldiri (kiri), jiran depan rumah semasa tinggal di 65 Jalan 43, Desa Jaya pada 1984-1989

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru