KUALA LUMPUR Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa pendirian UMNO selaras dengan perkembangan terbaharu majoriti akar umbi parti pada mesyuarat bahagian iaitu menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada PRU15.

Maklumnya, berkaitan kedudukan Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai UMNO dan PAS pada 2019, hubungan masih baik.

“Saya tahu ramai tertanya-tanya mengenai status terkini MN yang dipelopori UMNO dan PAS pada tahun 2019. Ia disebabkan PAS secara rasmi telah menyertai Perikatan Nasional (PN) yang diasaskan PPBM, manakala UMNO sebaliknya,” kata Zahid  yang juga Pengerusi BN melalui satu hantaran di Facebooknya.

Ini kerana katanya, UMNO sekadar menyokong pembentukan kerajaan PN demi kestabilan pentadbiran negara selepas Perdana Menteri ke-7 letak jawatan.

Ujarnya, bagi menjelaskan persoalan tentang kedudukan MN yang dimeterai UMNO dan PAS pada 2019, apa yang boleh dikatakan adalah hubungan kedua-dua parti masih baik walaupun terdapat pelbagai interpretasi di luar.

“Hubungan kedua-dua parti masih berjalan walaupun mungkin ada pihak tidak berapa senang dan berterusan mencari jalan untuk merenggangkan,” katanya.

Beliau turut berkongsi cerita mengenai ilham untuk menjalinkan semula kerjasama antara kedua-dua parti telahpun wujud sejak tahun 1998.

“Selepas saya mendapat ‘ijazah’ Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA), saya bertemu pemimpin PAS, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din ketika itu.

“Allahyarham Tuan Guru waktu itu merupakan Ketua Penerangan PAS. Saya masih ingat kata-kata Allahyarham Datuk Dr. Haron Din kepada saya.

“Beliau menyatakan betapa hasratnya melihat UMNO dan PAS dapat berkongsi fikrah antara satu sama lain meskipun walau tidak bergabung sebagai sebuah parti suatu hari nanti,” tambahnya.