KUCHING: Pembangunan sistem kereta api Kalimantan sempat ditunda pada 2020 kerana Jakarta perlu memfokuskan penyelesaian penularan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, rancangan pembangunan kereta api Kalimantan Timur bagi melengkapi kemunculan Ibu Kota Negara baharu Indonesia di Pulau Borneo tetap menjadi projek keutamaan Kementerian Perhubungan pada rancangan 2021.

Memetik Bisnis.com pada September tahun lepas, Pengarah Jenderal Sistem Kereta Api Kementerian Perhubungan Indonesia, Zulfikri pada sidang media berkata, keutamaan projek pembangunan kereta api ini meliputi pembangunan sistem kereta api perkotaan bagi mendukung Ibu Kota Negara baharu di Kalimantan.

Media dalam talian itu turut melaporkan Kementerian Perhubungan akan membangun jalur kereta api di Kalimantan Timur yang dilakukan melalui skim KPBU menghubungkan Tabang Muara Wahau – Maloy (Utara) sepanjang 305 kilometer dan sempadan Kalimantan Tengah – Bulumuning sepanjang 196 kilometer.