KUALA LUMPUR:  Isu sugar daddy dan sugar baby turut mendapat perhatian Presiden Umno.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bimbang dengan laporan mendakwa Malaysia berada pada kedudukan tertinggi Asia bagi mahasiswa mendapatkan ‘sugar daddy’.

Sugar daddy merujuk kepada lelaki yang berusia yang sanggup menawarkan wang ringgit dan habuan lain kepada wanita perempuan muda sebagai pertukaran kepada perhubungan.

Ada yang dikatakan berakhir dengan hubungan intim.

“Mungkin disebabkan desakan hidup dan ekonomi ekoran pandemik Covid-19 punca utama mahasiswa terbabit bertindak sedemikian,” kata Anggota Parlimen Bagan Datuk pada hantaran di media sosial hari ini.

Menurut Zahid, ia bukan saja memperlihatkan keruntuhan moral, malah bertentangan dengan hukum syarak bagi mereka yang beragama Islam.

“Saya tidak berhasrat mencari salah sesiapa dalam soal ini kerana yang paling utama menyelamatkan generasi masa depan negara ini,” katanya.

“Namun laporan media menyebut peningkatan lebih 40 peratus pendaftaran mahasiswa mencari ‘sugar daddy’ berlaku selepas PKP 1.0, PKPB, PKPP dan PKP 2.O,” jelasnya.

Oleh itu, beliau berharap Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) cakna  akan perkara ini dan beliau berjanji  akan berkomunikasi dengan Menterinya Datuk Dr Noraini Ahmad.

Zahid berkata dia berharap pihak berkuasa agama dapat menyiasat dan menyelamatkan bagi pelajar yang beragama Islam.