KUALA LUMPUR: Presiden Umno merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa syukur kerana saranan BN untuk permudahkan skim i-Sinar demi kebaikan rakyat diterima.

Menurut beliau,  tugas BN dalam memperjuangkan hak dan keperluan tidak akan terhenti dan akan diteruskan dengan desakan terhadap moratorium.

“Alhamdulillah, saranan BN telah diterima dan i-Sinar dipermudahkan untuk kebaikan rakyat. Terima kasih pada pihak berwajib dan diharapkan pelaksanaan nanti tidak menyusahkan.

“Kepada Elya KWSP banyakkan senyuman selepas ini,” katanya dalam hantaran singkat menerusi Facebooknya.

Pada Khamis, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan berkenaan pemansuhan kriteria kemudahan i-Sinar bagi memberi lebih ramai ahli bantuan kewangan melalui simpanan Akaun 1 KWSP mereka.

KWSP dalam satu kenyataan y berkata pemansuhan kriteria i-Sinar akan melibatkan perubahan kepada sistem, proses dan tadbir urus i-Sinar Online, bagi memastikan permohonan boleh dibuat secara mudah dan selamat.