LUNDU: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan dua lelaki tempatan dipercayai terlibat salah guna dadah ketika membuat rondaan berhampiran pos kawalan di Kampung Raso, awal pagi tadi.

Komander Birged PGA Sarawak SAC Mancha Ata berkata motosikal dinaiki kedua-dua suspek yang berusia 19 dan 23 itu ditahan sekitar jam 2.40 pagi.

“Pemeriksaan awal beg silang yang dipakai oleh suspek pertama menjumpai sepeket plastik lut sinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu (Methamphetamine) dianggarkan seberat 0.18 gram.

“Turut ditemui di dalam beg tersebut iaitu dua alat picagari dipercayai digunakan untuk memasukkan dadah terlarang di dalam tubuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kedua-dua individu tersebut katanya kemudian dibawa ke IPD Lundu untuk dirujuk ke Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bagi siasatan lanjut.

Dedahnya hasil ujian saringan kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Ujarnya kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952.