KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata prihatin kepada nasib rakyat yang berada dalam kesukaran sememangnya sudah menjadi keutamaan kepada kerajaan.

“Pihatin rakyat ketika waktu sukar.

“Itulah yang patut jadi keutamaan,” ciapnya di Twitter.

Ahmad berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di dalam media arus perdana yang berkata kerajaan memberi komitmen akan menyemak semula dan menambah baik syarat i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) termasuk memberi kelonggaran kepada pencarum yang memohon.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian turut mengucapkan terima kasih kepada Tengku Zafrul yang berkata kerajaan peka dengan keluhan dan isi hati rakyat.

Begitu juga katanya, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP yang baharu Datuk Seri Amir Hamzah Azizan tentu akan bersegera melakukan yang terbaik untuk semua pencarumnya.

KWSP mengumumkan pelantikan Amir Hamzah bekas Presiden/CEO Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai CEOnya yang baharu berkuat kuasa 1 Mac ini bagi menggantikan Tunku Alizakri Alias yang menjawat jawatan tersebut sejak Ogos 2018.