Friday, October 7, 2022

Patuhi SOP: Rakyat Sarawak diseru bekerjasama turunkan kes Covid-19

Secara Rawak

KUCHING: Rakyat Sarawak diminta terus  berganding bahu menurunkan kadar jangkitan virus Covid-19  di negeri ini dengan terus mematuhi prosedur operasi  standard (SOP) termasuk ketika sambutan Tahun Baharu Cina (TBC).

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg langkah ini penting  sementara menunggu ketibaan vaksin di negeri ini yang diharap akan menjadikan keadaan lebih baik pada separuh kedua tahun ini.

“Sementara itu, kita hanya perlu mematuhi SOP dan bekerjasama dengan barisan hadapan serta pihak penguatkuasaan agar kes jangkitan tiga digit setiap hari dapat diturunkan kepada satu digit, insya-Allah tiada lagi jangkitan.

“Kita tidak pernah lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada barisan hadapan kita atas tekanan kerja yang luar biasa perlu ditanggung mereka demi menjaga kita semua bebas dari jangkitan,” katanya  dalam  perutusan Tahun Baharu Cina.

Jelas beliau, meskipun suasana pada tahun ini tidak mengizinkan masyarakat bersuka ria seperti selalunya disebabkan pandemik Covid-19, tetapi diharapkan tradisi menyambut tahun baharu bagi kaum Cina tetap mempunyai siginifikannya mengikut kepercayaan kaum Cina.

“Saya menyeru kepada saudara dan saudari untuk terus berusaha ke arah memperkukuh perpaduan dalam kalangan kita yang terdiri daripada  pelbagai agama, bangsa dan budaya di Bumi Kenyalang yang tercinta ini.

“Kita tidak dapat kunjung-mengunjung seperti biasa tetapi ini tidak menghalang kita untuk terus mengeratkan tali silaturahim antara kita dengan memperkukuhkan semangat saling hormat menghormati antara satu sama lain,” katanya lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru