BINTULU: Akibat mendedahkan kod kata laluan satu kali( OTP) perbankan secara dalam talian kepada individu tidak dikenali, seorang kerani di sebuah kompleks beli belah di sini kerugian RM11,538 ditipu lelaki yang menghubunginya pada Selasa(9 Februari).

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata, sewaktu berada di tempat kerjanya, kerani wanita berusia 29 tahun itu menerima panggilan daripada lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai kakitangan BigPay.

Menurut beliau, lelaki terbabit, kemudiannya, menawarkan khidmat pertukaran kad BigPay yang baharu kepada mangsa.

“Tertarik dengan tawaran itu, mangsa memberikan butiran diri dan nombor OTP bagi setiap akaun bank yang beliau miliki,”katanya pada sidang media di pejabat beliau di Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu, petang tadi.

Zulkipli berkata, berasa curiga selepas memberikan butiran diri dan  kod OTP tersebut, mangsa segera membuat semakan baki di dalam akaunnya, mangsa mendapati sejumlah RM10,228 telah dipindahkan ke dalam akaun yang tidak diketahui, manakala semakan baki di akaun bank keduanya, mangsa mendapati sejumlah RM1,250 turut dipindahkan ke akaun individu yang tidak diikenali.

Menyedari dirinya tertipu, mangsa segera pergi ke cawangan bank berkaitan untuk menyekat akaun banknya daripada terus diakses oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Satu laporan polis telah dibuat mangsa di Balai Polis Pusat Bintulu pada Rabu dan kes disiasat di bawah  Seksyen 402 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam pada itu, Zulkipli menasihatkan orang awam untuk tidak berkongsi sebarang maklumat sulit seperti kata laluan, OTP dan nombor kad pengenalan kepada sesiapa sahaja melalui sebarang panggilan telefon atau mesej yang mungkin diterima terutamanya dari aplikasi Whataps.

“individu atau orang awam  yang menerima panggilan sedemikian diminta agar tidak menuruti arahan pemanggil atau mendedahkan maklumat peribadi kepada mereka dan jangan telefon ke nombor telefon yang diberikan.

“Sebaliknya orang ramai perlu menghubungi bahagian khidmat pelanggan bank berkaitan menggunakan nombor telefon yang tertera di laman web rasmi bank berkenaan.

“Ini untuk memastikan panggilan yang diterima itu asli atau sebaliknya, tambah beliau lagi.