Unimas kaji varian Covid-19 di Sarawak

0
1

KUCHING: Maklumat lanjut mengenai varian Covid-19 yang menjangkiti rakyat Sarawak masih dalam kajian.

Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr Chin Zin Hing berkata kajian sedang dijalankan oleh Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

“Unimas masih dalam proses menguji dan mendapat lebih maklumat,” katanya yang dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas mengenai varian Covid-19 yang menjangkiti rakyat Sarawak, seperti didedahkan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Menurut Kui Hian, analisis penjujukan genom Covid-19 menunjukkan varian yang menjangkiti rakyat Sarawak kini berbeza dengan yang dikesan pada Mac hingga April tahun lepas.

Katanya jangkitan awal adalah dari strain Wuhan tetapi apabila Kluster Stutong dan Kluster Keranji Tabuan dikesan bulan lalu, analisis penjujukan genom yang dilakukan oleh Unimas menunjukkan strain baharu serupa seperti yang terdapat di Indonesia dan United Kingdom (UK).