KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno Malaysia mengalu-alukan berita pertukaran Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baharu yang akan bermula 1 Mac ini.

Kata Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pemuda hanya berharap dengan pertukaran CEO ini bukan sekadar ‘window dressing’ atau indah khabar dari rupa.

“Sebaliknya kepimpinan baharu KWSP mestilah benar-benar mampu menyelami dan memahami suara hati rakyat yang amat berharap agar mereka dapat mengeluarkan wang simpanan mereka tanpa syarat dan tanpa kriteria yang menyusahkan di kala suasana luar biasa pandemik ketika ini.

“’Extraordinary situation requires extraordinary measures’ (Keadaan luar biasa memerlukan tindakan luar biasa),” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Untuk rekod, Umno secara konsisten memperjuangkan pengeluaran Skim i-Sinar tanpa syarat bagi membantu rakyat yang ketika ini yang amat terkesan dengan penularan pandemik Covid-19.

Pemuda Umno sendiri telah menghantar memorandum, bersemuka dengan Menteri Kewangan, Menteri Ekonomi, Menteri Kanan, membuat pelbagai desakan melalui media bahkan berbincang dengan Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) supaya diangkat di dalam perbahasan di Parlimen.

Sebuah portal hari ini melaporkan Presiden dan Ketua Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB) Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dijangka akan memimpin KWSP mulai 1 Mac, menggantikan Tunku Alizakri yang menjawat jawatan tersebut sejak Ogos 2018.