KUCHING: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mendapatkan mandat baharu daripada rakyat menerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kata Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau percaya Muhyiddin akan memberi laluan untuk PRU-15 diadakan selepas tempoh darurat yang dijadualkan berakhir 1 Ogos ini, jika keadaan semasa Covid-19 sudah reda.

“Boleh dikatakan beliau berhadapan situasi yang sukar ketika ini, terutamanya dengan keadaan semasa politik negara yang tidak menentu dan perbezaan hanya dua atau tiga kerusi antara Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dan pembangkang.

“Jadi, cara terbaik adalah beliau kembali kepada rakyat untuk mendapatkan mandat baharu dan segar,” katanya pada sidang media Program Belia Prihatin 2021 di sini, semalam.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan terdahulu diminta mengulas mengenai video yang tular di media sosial tentang pencetakan poster dan baju pelbagai logo sebuah parti yang menggambarkan pilhan raya bakal diadakan dalam masa terdekat.

“Sama ada PRU-15 akan diadakan, ia terpulang kepada kerajaan kerana kita masih dalam tempoh darurat.

“Tetapi saya percaya bahawa parti-parti politik lain di Malaysia kini turut sedang membuat persiapan menghadapi kemungkinan pilihan raya diadakan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengehadkan perimeter di Sarawak sahaja dan tidak berniat untuk bertanding di negeri-negeri lain serta mengingatkan parti-parti luar untuk tidak masuk ke negeri ini.