KUALA LUMPUR: Kebimbangan rakyat terhadap peningkatan semula kadar pengangguran ialah isu yang sangat diberi perhatian secara kritikal oleh pihak kerajaan.

Menurut Ketua Pemuda Pas, Senator Khairil Nizam Khirudin, penguncupan ekonomi sedunia hingga terhentinya operasi pelbagai sektor sememangnya sudah dijangka, namun kerajaan telah menyusun pelbagai inisiatif rangsangan.

“Buktinya, daripada 3.9 peratus pada Mac 2020 melonjak kepada 5.3 peratus pada Mei 2020 iaitu semasa PKP 1.0 dilaksanakan, ia berjaya diturunkan kepada 4.6 peratus pada September 2020, sebelum kembali naik semula. Tetapi kerajaan mengambil langkah amat proaktif mengimbangi situasi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya, sebanyak RM18 bilion diperuntukkan bagi Program Subsidi Upah (PSU) yang menyelamatkan 3 juta pekerja dan 320,000 majikan setelah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih pentadbiran negara. Sekali gus merangsang pembukaan dan pemulihan operasi syarikat semasa PKPB.

“Inisiatif ini bukan sahaja menangani peningkatan kadar pengangguran, tetapi juga memastikan pengekalan pekerjaan. Malah, menerusi Perkeso, kerajaan membantu mereka yang hilang pekerjaan. Dengan Skim Insurans Pekerjaan, RM600 sebulan diperuntukkan kepada golongan ini hingga suatu tempoh,” katanya.

“Melalui Inisiatif Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) di bawah Penjana pula, kerajaan giat melaksanakan penempatan pekerjaan dan penjanaan pendapatan rakyat. Malah, menawarkan Platform Ekonomi Gig kepada 300,000 Orang Bekerja Sendiri (OBS) bersama caruman keselamatan sosial demi kebajikan mereka,” ujarnya.

Menurut Khairil, kerajaan juga menghalusi hingga ke lubuk emosi rakyat apabila menyelami tekanan yang ada dengan memudahcara perbelanjaan penting menerusi pelepasan cukai sehingga RM8,000. Bahkan disertakan sama kemudahan moratorium, pakej bantuan PRIHATIN dan banyak lagi lainnya yang mesti dilihat sebagai usaha holistik.

“Tambahan peruntukan juga berlaku dalam Belanjawan 2021 untuk semua program tersebut. Di mana bagi tahun ini 2021, kerajaan telah menyatakan komitmen menjana 500,000 pekerjaan. Ia meliputi insentif pengambilan pekerja dan bantuan latihan, serta program kemahiran dan peningkatan kemahiran, juga perantis,” tambanya.

Jelas beliau lagi, , Antaranya juga tambahan RM1.5 bilion untuk 3 bulan khusus kepada 70,000 majikan dan 900,000 pekerja sektor pelancongan dan peruncitan. Selain geran dan pembiayaan disalurkan sebagai peruntukan buat PKS dan PKS mikro. Manakala RM3.7 bilion kepada usaha menjana pekerjaan secara kerjasama pihak GLC dan Swasta.

Menariknya,  menurut Khairil, kerajaan juga memperuntukkan RM1 bilion sebagai pakej galakan pelaburan nilai tambah tinggi seperti aeroangkasa dan elektronik, serta RM9 bilion untuk memperkasa infrastruktur digital negara dan penambahbaikan kesalinghubungan 430 sekolah dan kawasan industri, juga penyediaan kemudahan peranti dan komputer riba.

“Nasihat saya, janganlah cepat berputus asa. Sebaliknya kuatkan baik sangka kepada Allah S.W.T dan berusahalah dengan peluang-peluang sedang dibuka pihak kerajaan. Ketika sama kawal keluh kesah dan kebimbangan agar mengelak terjebak penipuan atau pemerdayaan yang merugikan mahupun merosakkan diri,” katanya.