Wednesday, June 29, 2022

HPN 2021 berlangsung meriah dalam suasana pandemik Covid-19

Secara Rawak

Presiden Republik Indonesia, Bapak Joko Widodo menyampaikan amanat kepada Hari Pers Nasional republik itu pada pagi 9 Februari 2021.

Sekalipun diadakan dalam suasana pandemik Covid-19, sambutan Hari Pers Nasional (HPN) Republik Indonesia yang berlangsung di Jakarta hari ini – 9 Februari 2021 – tetap berjalan meriah mempamerkan kesatuan yang tinggi dalam kalangan komuniti wartawan di negara tersebut.

Kemuncak perayaan berlangsung di Istana Negara, kantor dan kediaman rasmi Presiden republik itu sendiri sambil digabungkan dengan majlis-majlis kecil dan sederhana yang turut didakan secara maya di bandar-bandar utama di seluruh republik itu.

Presiden Joko Widodo telah menyampaikan amanat ringkasnya secara maya yang turut disiarkan secara langsung oleh stesen-stesen TV utama Indonesia.

Dalam ucapan tersebut beliau menghargai peranan yang dimainkan oleh organisasi media dalam menyebarkan maklumat mengenai Covid-19 kepada khalayak masing-masing.

Beliau juga mengumumkan 5,000 pengamal media adalah antara kelompok awal yang diberi keistimewaan untuk mendapat suntikan vaksin Covid-19 pada waktu terdekat.

Beliau juga mengumumkan pengurangan cukai (pajak) untuk industri media yang kuantumnya akan ditentukan oleh Kementerian Kewangan.

Selain itu, untuk membantu media cetak yang tertekan dari segi binses akibat pandemik Covid-19, pemerintah juga akan memberi potongan cukai import bagi bahan mentah yang digunakan oleh industri tersebut.

Memang telah menjadi tradisi untuk pemimpin utama negara itu atau wakilnya untuk menghadiri HPN yang diadakan setiap tahun pada 9 Februari iaitu sempena penubuhan Persatuan Wartawan Indonesia (PWI) yang ditubuhkan pada tarikh yang sama pada tahun 1946.

Hal ini kerana HPN merupakan satu hari yang memperlihatkan solidariti tinggi dalam kalangan pengamal dan pengusaha media Indonesia.

Pada hari-hari biasa mereka mungkin bersaing untuk mencari berita dan pasaran produk media masing-masing tetapi apabila tiba 9 Februari, persaingan sesama mereka dilupakan.

Para pengusaha media dan para wartawan akan berbondong-bondong ke wilayah di mana HPN diadakan.

Malah kawan-kawan wartawan di Indonesia memberitahu bahawa HPN merupakan perayaan kedua terbesar selepas Hari Raya Aidilfitri di negara itu.

HPN pertama kali diraikan pada 9 Februari 1985 sebagai menghargai sumbangan para wartawan dan media dalam membangunkan bangsa dan negara.

HPN diadakan berdasarkan Keputusan Presiden Republik Indonesia Nomor 5 yang telah ditandatangani oleh Presiden Suharto pada 23 Januari tahun yang sama – 1985.

Sebelum itu, HPN tidak ada. Apa yang ada adalah PWI mengadakan hari peringatan sempena penubuhan persatuan itu secara bergilir-gilir di kota-kota utama wilayah Indonesia.

Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia turut menghantar 11 orang ahlinya untuk menyertai perayaan HPN 2021 secara maya.

Mereka ialah Tan Sri Johan Jaaffar, Dato’ Zulkifli Salleh, Rashid Yusof (presiden semasa ISWAMI), Datuk Zulkifle Hamzah (timbalan presiden), Nasir Yusof (setiausaha agung), Khaidir Majid (bendahari), Ahmad Yani (timbalan bendahari), Datuk Mokhtar Hussein (naib presiden), Sabaruddin Ahmad Sabri (setiausaha kerja) dan Datuk Chamil Wariya (Malaysian Press Institute (MPI).

ISWAMI mula menghadiri HPN, sebagai tetamu undangan PWI pada tahun 2008.

Secara peribadi saya telah menjadi tetamu HPN mewakli MPI dan ISWAMI semasa saya menjadi Timbalan Presiden sebanyak lima kali iaitu di Bengkulu (2014), Lombok (2015), Batam (2016), Ambon (2017) dan di Padang (2018).

IMBAS KEMBALI

Wakil ISWAMI Malaysia menghadiri HPN Ambon 2017. Turut serta Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak (lima dari kiri) yang bertindak sebagai ketua delegasi.
Wakil ISWAMI ke HPN Padang 2018
Wakil ISWAMI ke HPN Surabaya 2019

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru