Wednesday, June 29, 2022

Benarkan kursus bersemuka diadakan semula

Secara Rawak

Boleh dikatakan hampir semua sektor ekonomi yang ditutup berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada 13 Januari 2021 lalu, telah dibuka bagi membolehkan kalangan yang terbabit dalam sektor itu mencari rezeki semula.

Misalnya mulai hari ini, makan di restoran dan kedai makan dibenarkan dengan mematuhi SOP ketat (katanya) pandemik Covid-19.

Industri kreatif yang menjadi tempat cari makan 42,000 individu juga dizinkan dengan mematuhi SOP tambahan tertentu. Ini termasuk tidak membenarkan audiens hadir bagi program-program siaran langsung televisyen.

Bagaimanapun entah di mana silapnya penganjuran kursus-kursus, latihan, bengkel dan seminar bersemuka secara komersial yang juga merupakan sumber rezeki bagi kalangan yang terbabit dalam bidang itu, masih dilarang.

Benar masa PKP 2.0 dilaksanakan, penyedia kursus, latihan dan bengkel serta penganjur seminar telah mengadakan program masing-masing secara maya, memanfaatkan teknologi digital yang ada.

Tetapi rupanya bukan semua kursus dan latihan bersemuka boleh diadakan secara berkesan atas talian.

Pandangan ini telah dikongsi oleh artis Mark Adam, pemilik Suara Akademi (M) Sdn Bhd semasa tampil sebagai tetamu program Meletop di Astro Ria malam tadi.

Selain berlakon, berlawak dan bernyanyi, Mark turut mengembangkan bakat seninya dengan mengadakan kelas vokal dan persembahan pentas di Suara Akademinya.

Beliau memberitahu Meletop bahawa Akademinya menggaji enam orang tenaga pengajar. Walaupun pendapatan bisnesnya terjejas semasa PKP 2.0, sebagai seorang usahawan yang bertanggungjawab, beliau tetap melunaskan gaji para petugasnya itu.

Hal ini berlaku kerana berikutan pelaksanaan PKP 2.0, akademinya terpaksa ditutup. Para pelajarnya, sebahagian besarnya kanak-kanak, tidak dapat hadir ke kelas untuk mengikuti kelas-kelas vokal, nyanyian, lakonan dan barangkali tarian.

Beliau cuba untuk mengadakan kelas-kelas secara maya tetapi mendapati bahawa apa yang diusahakan tidaklah seberkesan kalau diajar secara bersemuka.

Hal ini kerana pengajaran kelas-kelas vokal dan persembahan pentas membabitkan tugasan-tugasan praktikal tertentu hanya boleh diajar secara efektif secara bersemuka oleh para pengajarnya.

Justeru, dengan kelonggaran yang diberikan terhadap industri kreatif, Mark dan tentunya para penyedia program latihan komersial yang lain, berharap kerajaan akan membenarkan kelas-kelas bersemuka diadakan semula dengan mematuhi SOP ketat Covid-19 tentunya, sama seperti yang diwajibkan ke atas peniaga pasar malam, penjual runcit pakaian dan sebagainya.

Mungkin kursus bersemuka jangka pendek itu boleh mengehadkan bilangan peserta pada mulanya tidak melebihi 20 atau 30 orang, bergantung kepada keluasan tempat program itu diadakan.

Dengan kelonggaran itu dapatlah para penyedia kursus, latihan dan bengkel bersemuka lain yang durasinya dua atau tiga hari, mencari rezeki semula.

Ayuh Majlis Keselamatan Negara (MKN) pertimbangkanlah permintaan penyedia kursus, latihan dan seminar secara komersial itu.

Kalangan itu juga terhimpit, dari segi pendapatan, seandainya larangan tidak membenarkan kelas-kelas bersemuka untuk bidang-bidang yang memerlukan latihan praktikal yang tidak dapat diajar secara maya, terus dikuatkuasakan!

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru