IMPIAN dan hasrat mana-mana  parti pembangkang di dunia adalah untuk menumbangkan kerajaan dalam pilihan raya, dan seterusnya menjadi pemerintah.

Tetapi impian dan harapan itu bukan mudah untuk dicapai kecuali dengan strategi betul, termasuk kerjasama utuh dalam kalangan parti pembangkang. 

Jika kerajaan sedia ada menjalankan tugasnya dengan baik dan memuaskan hati rakyat, usaha itu  tentu bagai mendaki puncak gunung yang tinggi. Maksudnya, parti pembangkang perlu bekerja lebih keras untuk merealisasikan impian itu.

Menjelang PRN-12 Sarawak, adakah parti pembangkang mampu berdepan GPS dengan kekuatan padu? Adakah mereka bersatu padu dan berjaya menjalinkan kesepakatan? Atau mereka saling bertelagah dan saling keras kepala dan mementingkan diri sendiri? 

Berdasarkan kenyataan tiga pemimpin pembangkang beberapa hari ini, kelihatannya, mereka tidak berada di halaman yang sama. Maksudnya, mereka sukar untuk mengadakan kesepakatan, bekerjasama dan bersatu hati. 

Jadi, bagaimana mungkin mereka dapat menyimpan impian untuk menewaskan GPS dalam PRN itu nanti?

Pada Ahad lepas, Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen dilaporkan mengemukakan formula 3+3+3+1 yang bermaksud 30 peratus daripada kerusi DUN adalah untuk ditandingi DAP, PKR dan PSB masing-masingnya, manakala Amanah akan bertanding di 10 peratus daripada kerusi.

DAP, PKR dan Amanah ialah komponen PH Sarawak.

Persoalannya, adakah ini formula terbaik untuk mengelakkan pembangkang daripada bertembung sesama sendiri dalam PRN nanti? Dapatkah parti pembangkang lain menerima formula Chieng Jen itu dengan hati terbuka?

Menurut  beliau,  menjadi parti politik dominan dalam satu gabungan sesuatu yang tidak sihat dan sekiranya PSB sedia bekerjasama dengan PH, maka formula ‘3+3+3+1’ harus digunakan  bagi melaksanakan pembahagian kerusi DUN nanti.

Sesuatu yang tentu mengecewakan pemimpin pembangkang itu  ialah PSB menolak formula berkenaan. PSB ternyata tidak berpuas hati dengan formula yang dikemukakan oleh Chieng Jen mahu PSB diperuntukkan 30 peratus daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Justeru, tidak hairanlah, PSB menolak cadangan agihan kerusi yang dikemukakan oleh Chieng Jen yang juga Pengerusi DAP Sarawak dan  Adun Kota Sentosa itu.

Disebabkan itu, PSB akan bertanding di semua kerusi DUN walaupun sebelum ini dilaporkan hanya akan bertanding di sekitar 65 kerusi. Ini tentu sesuatu yang tidak dimahukan oleh pembangkang. Adakah pembangkang sudah menemui jalan mati?

Bagaimanakah PH  Sarawak  dapat bekerjasama dengan PSB bagi menghadapi PRN Sarawak  dalam keadaan demikian?

Yang merumitkan lagi keadaan ialah PKR Sarawak dan PSB juga kelihatannya gagal mencapai kerjasama. Semua ini berpunca daripada keinginan semua parti politik untuk bertanding di banyak kerusi. Masing-masing percaya mereka dapat menang di kerusi terbabit, tanpa mempedulikan angka, sentimen, kekuatan dan realiti di akar umbi. 

Sifat tamak ialah sifat yang normal dalam politik. Namun, harus diingat kerakusakan dan ketamakan jugalah yang akan membawa  padah dan bencana kepada mana-mana parti politik, terutama parti politik pembangkang.

Kelihatannya, parti politik pembangkang di Sarawak gagal mencapai kata sepakat dari segi agihan kerusi. Mereka tidak mahu berkompromi dalam agihan kerusi susulan kedegilan PSB untuk tidak akur kepada agihan kerusi yang dicadangkan PH Sarawak. 

Setakat ini telah ditentukan bahawa  PKR bertanding di 47 kerusi, DAP 26 kerusi dan Amanah  sembilan kerusi. Kalau nisbah dan agihan ini dipegang, kerusi manakah yang akan ditandingi oleh PSB?

Pada awal November lalu , Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh berkata, parti itu sedia bekerjasama dengan parti lain yang berkongsi matlamat dalam perjuangan politik mereka bagi membantu rakyat di negeri tersebut.

Ternyata PH,  PSB dan PKR yang mempunyai ideologi yang berbeza tidak dapat bersatu hati. Mereka tamak dan gagal untuk mengadakan kesepakatan sebagai pembangkang yang utuh. 

Apakah implikasinya? 

Dengan setiap parti politik mahu bertanding di lebih banyak kerusi kerana gagal bertolak ansur, dan atas keyakinan dapat memenangi kerusi berkenaan, maka mereka pasti akan berlaku pertindihan kerusi. 

Mereka akan bertarung sesama sendiri. Akan berlaku pertandingan pelbagai penjuru.  Ini tentu memberi gambaran yang negatif kepada rakyat dan pengundi. Ini sekali gus mencerminkan kepada rakyat bahawa parti terbabit hanya mementingkan diri sendiri. Jika  pertarungan sesama sendiri berlaku, adakah ini bermakna GPS akan meraih kelebihan dan keuntungan? 

Dr Jeniri Amir ialah Felo Kanan Majlis Profesor Negara