JAKARTA: “Lawatan rasmi atas undangan khas Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) ini amat bermakna dalam mengukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia,” tulis Perdana Menteri di Facebooknya Muhyiddin Yassin.

Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, lawatan rasmi beliau ke Indonesia berakhir dengan beberapa persetujuan bersama dicapai yang dapat memacu hala tuju hubungan kerjasama kedua-dua negara ke tahap lebih tinggi.

“Pertemuan bersama Bapak Jokowi pada sesi ‘veranda talk’ merupakan satu lagi pendekatan baharu arena diplomasi antarabangsa dalam situasi pandemik Covid-19,” tulis beliau.

Menurut beliau, pada sesi itu, beliau membangkit dan mencadangkan langkah ke hadapan dalam beberapa isu seperti pelaburan dan perdagangan, pelaksanaan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL), diskriminasi minyak sawit dan kerjasama dalam menangani pandemik Covid-19 serta pergolakan politik semasa di Myanmar.

Bagi pihak Malaysia, Muhyiddin merakamkan ucapan terima kasih kepada pemerintah Indonesia, khususnya Presiden Joko Widodo atas sambutan luar biasa yang diberikan walaupun dalam keadaan pematuhan ketat SOP menghadapi pandemik Covid-19.

Beliau menyifatkan lawatan tersebut sangat bermakna apabila dua pemimpin utama negara dapat berbual dan berbincang secara bersemuka selama empat jam dalam satu lawatan rasmi.

“Semoga silaturahim Malaysia-Indonesia terus kukuh. Terima kasih Bapak Presiden!” tulis Muhyiddin.