KUALA LUMPUR: Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) menjemput orang ramai menyaksikan pelancaran kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’ secara maya yang diadakan di laman Facebook MPOC di https://www.facebook.com/MPOCHQ. Acara ini akan diadakan pada pukul 12.00 tengah hari, 10 Februari 2021. 

Pelancaran kempen ini akan disempurnakan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Khairuddin Aman Razali. Sehubungan dengan pelancaran kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’, laman sesawang khusus, www.sawit.com.my akan turut dilancarkan. 

Menerusi laman ini, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang manfaat minyak sawit Malaysia dan juga menyertai peraduan dalam talian untuk merebut peluang memenangi hadiah-hadiah menarik termasuk iPad, jam tangan pintar Garmin, Earbuds, baucer makanan dan banyak lagi. Pemenang hadiah utama akan membawa pulang sebuah komputer riba MacBook Pro serba baharu.

Kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’ merupakan usaha Kementerian untuk meningkatkan kesedaran awam dalam menghargai sumbangan industri minyak sawit kepada pertumbuhan negara –– dari segi sosial dan ekonomi. Di samping itu, kempen ini juga akan menjadi satu platform untuk menggalakkan pengeluaran minyak sawit lestari dalam kalangan pekebun kecil. 

Selama berdekad-dekad, industri minyak sawit Malaysia telah menyumbang kepada pendapatan dan kesejahteraan sosial rakyat, terutamanya pekebun kecil. Ini telah memberi kualiti kehidupan yang lebih baik kepada keluarga pekebun-pekebun, membuka peluang pendidikan lebih tinggi bagi generasi muda dan mengukuhkan kedudukan ekonomi negara. Manfaat tersebut perlu dikongsi bersama rakyat Malaysia. Kempen ini juga mengenengahkan manfaat dan potensi minyak sawit Malaysia dengan memberi tumpuan kepada sumbangan komersial, faedah kesihatan & pemakanan, dan ciri serba guna yang tiada tandingan di dalam aplikasi produk makanan dan bukan makanan.

Dianjurkan oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia, kempen tersebut diumumkan kepada orang ramai pada 19 November 2020 di Parlimen Malaysia oleh Dato’ Dr Khairuddin. 

Untuk maklumat lanjut mengenai acara maya ini, sila layari https://www.facebook.com/MPOCHQ.