KUCHING: Harapkan pegar, pegar makan padi, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Keluarga, Wanita dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) Datuk Seri Fatimah Abdullah ketika mengulas mengenai laporan akhbar berhubung kes seorang bekas tukang masak yang dijatuhkan hukuman 17 tahun penjara dan 10 sebatan kerana merogol anak tirinya yang berumur 10 tahun.

Terdahulu, tertuduh berusia 35 tahun itu didapati bersalah melakukan jenayah sumbang mahram yang berlaku pada 2018.

Tegasnya, tindakan seorang bapa yang sanggup merampas kesucian kanak-kanak yang tidak berdaya dan tidak bersalah itu dianggap terlalu kejam. “Bapa harus melindungi dan merawat anak-anak.

Tindakan keji itu akan memberi kesan psikologi jangka panjang kepada kanak-kanak berkenaan,” katanya baru-baru ini.

Fatimah menegaskan, masyarakat tidak boleh mengambil mudah masalah yang ingin dikongsikan oleh kanak-kanak.

Menurut beliau, tidak kira ibu bapa, sanak-saudara, guru, pakar perubatan atau rakan, mereka perlu mendengar luahan kanak-kanak dan memandang serius kepada perkara yang ingin disampaikan oleh mereka.

“Jangan mengambil mudah perkara yang dikongsikan kanakkanak dan sentiasa berwaspada kepada tekanan yang ada pada diri mereka.

“Kita perlu memahami bagaimana pelaku jenayah rogol berupaya memastikan kanak-kanak untuk berdiam diri mengenai penderaan dilakukan kepada tubuh mereka,” jelasnya.

Fatimah memberitahu, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam memberikan pendidikan seksual kepada anak bermula di rumah pada usia muda dengan fokus yang sama kepada lelaki dan perempuan.

“Ibu bapa perlu proaktif dan waspada mengenai isu seksual dalam kalangan kanak-kanak dan perlu lebih terbuka dengan anak apabila timbul isu mengenai seksual, pencegahan kehamilan dan pergaulan mesra,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat didedahkan pendidikan dan kesedaran serta menyediakan akses kesihatan reproduktif kepada remaja yang dikenal pasti sebagai aktif secara seksual.

Fatimah berkata, sejak penubuhan One Stop Teenage Pregnancy Committee (OSTPC) pada 2014 oleh KWKPK bersamasama Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) di peringkat negeri dan bahagian, terdapat penurunan trend kehamilan remaja sejak 2017 (2,120 kes) hingga 2019 (1,967 kes).

“Bukan itu sahaja, ia turut mendorong tiada peningkatan ketara dalam kes pembuangan bayi sesak 2015 (empat kes) kepada satu kes sahaja pada tahun ini,” tambah Fatimah.