Tuesday, June 28, 2022

Tubuh tabung khas bantu wartawan menganggur

Secara Rawak

Tulisan saya berjudul “Bantuan untuk industri dan petugas media – tanpa syarat ” dalam blog ini dua hari lalu, nampaknya mendapat perhatian beberapa orang rakan yang bersimpati dengan nasib wartawan yang berstatus penganggur angkara Covid-19 dan gangguan digital yang telah menjejas perniagaan organisasi media, terutamanya di alam nyata.

Saya ingin berkongsi apa-apa yang telah disampaikan itu di bawah ini. Mana tahu ada antara cadangan tersebut boleh diterima pakai:

Seorang pegawai tinggi kerajaan mencadangkan supaya pertubuhan bukan kerajaan media seperti Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) bertemu dengan Menteri dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dengan cadangan yang spesifik untuk menolong rakan-rakan wartawan yang kehilangan pekerjaan itu.

Saya fikir itu satu idea yang baik. Kata rakan itu, kalau tidak dicuba, tidak tahu hasilnya.

Mungkin kalangan yang berpengalaman dalam bidang kewartawanan yang tidak lagi bekerja itu kata beliau, boleh diambil bekhidmat dengan agensi-agensi penyebar maklumat di bawah kementerian tersebut.

Hal ini kerana selain terdapat Jabatan Penerangan Malaysia, agensi berita nasional Bernama, KKMM baharu saja menubuhkan Jabatan Komunikasi Komuniti, bagi menggantikan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), dengan peruntukan RM50 juta.

Betul juga.

Ada juga rakan yang berpendapat bahawa sekiranya NUJM serius untuk menolong, ia bukan sekadar bersuara lantang tetapi menubuhkan sebuah tabung khas untuk mengutip derma bagi disalurkan untuk membantu mereka.

Saya fikir ada benarnya pandangan itu. Hal ini kerana keberkesanan bersuara mestilah diikuti dengan tindakan. Bercakap berdegar-degar itu dan ini tidak akan meninggalkan apa-apa kesan.

Dalam kes NUJM, ia memang layak mendayausahakan penubuhan tabung khas itu kerana sebagai sebuah kesatuan tugas asasnya adalah untuk membela dan memperjuangkan ahli-ahlinya termasuk daripada kalangan yang pernah bergelar wartawan.

Dari segi etos, NUJM adalah sebuah institusi yang dihormati.

NUJM juga mempunyai kekuatan institusi untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada pelbagai pihak, termasuk orang ramai yang bersimpati dengan nasib wartawan dan juga kerajaan.

Kalangan yang ikhlas ingin menolong, tidak akan berasa curiga kalau tabung membantu wartawan menganggur itu digerakkan oleh NUJM.

Kata mereka, di tangan NUJM tidak akan berlaku penyalahgunaan dana yang telah dipungut.

Tambahan pula NUJM mempunyai rekod yang lengkap mengenai 3,000 orang petugas media yang dilaporkan kehilangan rezeki dalam masa dua tahun antara 2019-2020.

Data yang ada itu boleh digunakan untuk menyalurkan bantuan setelah tabung yang akan dilancar itu di isi dengan sumbangan banyak pihak.

Sebagai permulaan crowd funding mungkin boleh dimanfaatkan untuk mengisi tabung khas itu. Kaedah-kaedah lain boleh difikirkan kemudian.

Organisasi media yang masih membuat untung juga boleh menyumbang, jika mahu.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru