KUCHING: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching melupuskan sejumlah 1,250 karton rokok yang dianggarkan bernilai RM16,000, membabitkan kes rampasan rokok oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Kuching pada 5 Jun tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata pelupusan barang kes berkenaan terdiri daripada 500 karton rokok jenis ERA merah, 250 karton rokok ERA Menthol (hijau) dan 500 karton rokok ERA Menthol (hitam).

“Kesemua rokok ini dilupuskan selepas mendapat arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya Sarawak.

“Pelupusan barang kes ini adalah melibatkan barangan tidak bercukai yang disiasat dibawah Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan semalam.

Turut hadir menyaksikan sesi penyerahan barang kes kepada wakil syarikat pelupusan Trienekens adalah Datuk Bandar Kuching Selatan (MBKS) Datuk Wee Hong Heng, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Hamzah Mohamad, Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Kuching Aida Montong, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Merbin Lisa.

Selain itu ialah Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuching Deputi Superintendan Ooi Jin Bing, Pegawai Risik Pasukan Gerakan Marin Wilayah Lima, Kuching ASP Mohammad Sallam Spawi, Pegawai Penyiasat Kanan ASP Caroline Olivia Fabian, Insp Mohd Syuhairi Naufal Chang Abdullah dan Pengurus Bahagian Trienekens Hansen Shim.