KUCHING: Terdapat 119 kes sumbang mahram direkodkan di negeri ini sejak 2015, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak.

Datuk Fatimah Abdullah berkata, sebanyak 17.6 peratus atau 21 kes adalah di bawah umur 12 tahun, 57.1 peratus atau 21 kes  dalam kumpulan umur 13 hingga 16 tahun , dan 16.8 peratus atau 20 kes adalah antara 17 hingga 18 tahun.

“Selebihnya, 8.4 peratus atau 10 kes berumur 19 tahun ke atas,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Daripada jumlah tersebut,  katanya, Bahagian Kuching mencatatkan jumlah kes sumbang mahram tertinggi dengan 33 kes.

Ini katanya, diikuti Bahagian Miri (18 kes), Samarahan (13 kes), Sibu (11 kes), Bintulu dan Betong masing-masing mencatatkan sembilan kes, Serian dan Limbang masing-masing enam kes.

Dari segi umur pelaku kes jenayah sumbang mahram di Sarawak, katanya, 0.8 peratus (1 kes) adalah di bawah umur 12 tahun; 2.5 peratus (3 kes) antara kumpulan umur 13 hingga 16 tahun, 2.5 peratus (3 kes) adalah antara kumpulan umur 13 hingga 16b tahun, 2.5 peratus (3 kes) adalah antara 17 hingga 18 tahun, 7.6 peratus (9 kes) adalah antara 19 hingga 25 tahun, 86 peratus (103 kes) berumur 26 tahun dan lebih.