SERIAN: Seorang lelaki warga Indonesia dan dua lelaki tempatan ditahan selepas menjadi tekong darat terhadap penyeludupan tujuh Pendatang asing tanpa izin (Pati) ke Sarawak.

Komander Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak SAC Mancha Ata berkata kesemua suspek ditangkap hasil dua operasi berasingan Op Benteng Covid yang dilakukan oleh PGA Kuching di sekitar Serian dalam tempoh dua hari bermula 30 Jan hingga Ahad lalu.

Tangkapan pertama katanya melibatkan sebuah kenderaan dipandu seorang tekong warga Indonesia bersama tiga lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 25 hingga 45 tahun di Jalan Serian- Sri Aman Sabtu lalu.

“Pemeriksaan mendapati pemandunya mempunyai dokumen perjalanan yang sah manakala tiga lagi daripada mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen sah,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu dua lagi tekong warga tempatan turut ditahan sekitar jam 9 pagi ketika cuba menyeludup empat Pati daripada Tebedu ke Serian dengan menaiki sebuah kenderaan jenis Alza pada Ahad.

Menurutnya kedua-dua tekong tersebut berusia 30 dan 50 tahun manakala tiga Pati iaitu seorang lelaki dan tiga wanita masing-masing berusia 23 hingga 32 tahun.

“Ketika ditahan pemandu kenderaan itu telah mengeluarkan surat kebenaran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Dia mengaku telah disuruh oleh pemilik kenderaan yang dipandunya untuk menghantar kesemua Pati itu dari Tebedu ke Serian,” katanya lanjut.

Susulan itu dedahnya kedua-dua kenderaan terbabit telah dirampas manakala kesemua suspek turut ditahan dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Serian serta Balai Polis Tebedu untuk tindakan siasatan lanjut.

Mancha menambah, kes kini disiasat di bawah Seksyen 15 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959 (Akta 155) dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).