SEOUL: Korea Selatan melanjutkan langkah penjarakan fizikal selama dua minggu lagi hingga akhir cuti Tahun Baharu Cina ketika kluster baharu muncul di negara itu, kata Perdana Menteri Chung Sye-kyun.

Mengutip Reuters, pengumuman itu melenyapkan harapan sebelumnya bahawa kerajaan akan melonggarkan peraturan daripada tahap tertinggi ketika ini, termasuk mengehadkan waktu operasi restoran dan larangan perhimpunan lebih daripada empat orang yang dilaksanakan sejak awal Disember lalu.

Pihak berkuasa kesihatan memutuskan untuk mengekalkan langkah pengekangan virus selepas wabak besar baharu muncul dari sekolah latihan mubaligh di seluruh negara minggu lalu.

Kemunculan semula kluster baharu itu menamatkan trend penurunan jangkitan hariannya sebelum ini. Laporan itu memetik Chung ketika mesyuarat antara agensi sebagai berkata, iaitu kerajaan merancang untuk melanjutkan tahap penjarakan fizikal dan piawaian antivirus semasa tanpa sebarang perubahan sehingga cuti Tahun Baharu Cina berakhir.

“Gelombang ketiga Covid-19, yang perlahan seketika, sekali lagi mengancam kehidupan harian kita berikutan jangkitan kumpulan dari institusi mubaligh.”

Selaras dengan keputusan itu, restoran ditutup selepas 9 malam dan perhimpunan lebih dari empat orang, iaitu dua langkah utama yang terbukti berkesan akan terus dilarang.

Chung berkata penularan yang sedang berlangsung mesti dikekang untuk membolehkan kempen vaksinasi Korea Selatan dijalankan dan permulaan semester sekolah musim bunga, yang masing-masing ditetapkan pada Februari dan Mac.

“Ini bukan keputusan yang mudah,” tegas Chung. Kira-kira 117,000 dos vaksin Pfizer, cukup untuk kira-kira 60,000 orang, akan tiba pada awal pertengahan Februari melalui skim pengagihan global COVAX, kata Chung.