Saturday, May 8, 2021

Perang melawan Covid-19: Jangan kibarkan bendera putih

Mesti baca

BILAKAH ancaman Covid-19 akan berakhir? Seorang ahli nujum dari Afrika meramalkan ancaman virus maut itu akan berakhir pada akhir November depan.

Anda percaya akan ahli nujum atau tukang ramal? Berdasarkan temu bual melalui sebuah radio, banyak ramalan ahli nujum berkenaan tepat sebelum ini. Tetapi ini bukan dunia untuk ahli nujum atau tukang ramal. Covid-19 berkaitan dengan sains kesihatan.

Virus maut Covid-19 terus menggila dan mengganas. Memang dapat difahami mengapa rakyat negara ini berasa takut, risau dan bimbang. Jumlah kes sentiasa mencatatkan rekod baharu. Akhbar didapati sentiasa memberi tajuk kes tertinggi beberapa kali kebelakangan ini sekali gus membuktikan bahawa angka kes jangkitan Covid-19 sentiasa meningkat.

Pada Jumaat negara kita merekodkan satu lagi angka tertinggi apabila 5,725 kes jangkitan berlaku. Sebelum ini pihak berkuasa menjangkakan, jumlahnya akan mencecah 8,000 kes menjelang Mac depan. Mungkinkah angka itu akan dicapai sebelum Mac? Unjuran 8,000 kes harian itu menurut sesetengah pakar berkemungkinan berlaku lebih awal sekiranya langkah drastik tidak dilaksanakan.

Jika betul ini tentu sesuatu yang seharusnya menyedarkan kita semua, betapa kita tidak boleh mengambil ringan perkara ini.

Seyogia diingat, virus maut itu terus mencari mangsa. Setiap detik ada sahaja orang yang dijangkiti dan mati di seluruh dunia. Setakat semalam, lebih 102 juta dijangkiti, dengan lebih 2.21 juta menemui Pencipta.

Malaysia terus bergerak ke atas dari segi kedudukan dunia dari segi jumlah kes — penarafan yang bukan untuk dibanggakan kerana setiap kali angka dan kedudukan kita bergerak ke atas, hal ini bermakna, kita semakin tidak dapat mengekang penularan virus berkenaan. Kini, menurut statistik Worldometers, Malaysia berada di tangga ke-55, naik lima anak tangga berbanding hujung minggu lalu.

Malaysia nombor tiga paling teruk di Asia Tenggara, di belakang Indonesia dan Filipina ketika ini. Tetapi dari segi nisbah kita sebenarnya jauh lebih buruk terutama dari segi kes jangkitan. Sebab, Indonesia yang berada di tangga ke-19 dunia dengan 270 juta jiwa merekodkan sekitar sejuta kes jangkitan dengan hampir 30,000 kematian. Manakala Filipina dengan 108 juta penduduk berada di kedudukan ke-32 dengan lebih 521,000 kes jangkitan dan 10,600 kematian.

Jumlah kes di Malaysia setakat semalam ialah 203,933 dengan 733 kematian. Sarawak juga sudah mencatatkan tiga angka harian. Sebelum ini Malaysia dianggap antara negara yang berjaya mengekang penularan Covid-19.

Di manakah silap kita? Bagaimana kita boleh berada pada kedudukan sekarang? Kita seolah-olah gagal mengekangnya. Adakah strategi kita salah? Atau kesalahan itu terletak pada sikap rakyat kita yang alpa dan leka?

Menunggu pengakhiran ancaman dan penularan Covid-19 sama seperti mendaki gunung tanpa kita tahu bila kita akan mencapai puncaknya. Sesungguhnya, menghadapi virus maut itu adalah bagai berdepan perang yang tiada kesudahan dan pengakhiran.

Kita sebenarnya sedang berperang dengan halimunan. Musuh kita tidak nampak secara fizikal, tetapi boleh mendatangkan bahana teruk kepada individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia.

Sekali lagi, kita perlu berganding bahu untuk memastikan kita dapat menewaskan musuh kita dalam perang ini. Dalam keadaan sekarang, perjuangan kita adalah perjuangan yang belum nampak pengakhirannya.

Kita bagai mendaki gunung yang kita sendiri tidak tahu bila kita akan sampai di puncaknya. Ini perjalanan dan pendakian yang amat meletihkan dan mengecewakan. Kita mahu memastikan perjalanan berliku dan sukar ini segera berakhir.

Jangan sampai kita gagal. Gagal bukan pilihan dalam perang ini. Kita perlu berjaya. Kita harus memastikan kita dapat keluar dari masalah ini dengan segera. Lagi cepat lagi bagus untuk keluarga, masyarakat dan negara.

Tugas menanganinya bukan hanya terletak di atas bahu kerajaan terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia. Kita semua berperanan untuk mengekang penularannya. Ini menuntut sikap bertanggungjawab di pihak rakyat. Sampai bilakah kita hendak terkurung di dalam rumah? Sampai bilakah kita hendak mengamalkan kelaziman baharu?
Tidakkah kita semua rindu dan mahu kembali ke kelaziman lama, kehidupan biasa?

Tidakkah kita semua ingin melancong ke negara impian kita, makan di kedai dan restoran, membeli-belah di pusat beli-belah yang sering kita kunjungi sebelum ini?

Ingat, sebahagian sektor telah lumpuh. Ada yang sudah kehilangan pekerjaan dan pendapatan. Banyak yang tertekan dan mengalami sakit mental. Malah bukan sedikit yang bunuh diri.

Virus ini telah menyebabkan dunia dan semua sektor kehidupan dan ekonomi tunggang terbalik. Sebelum ini negara pernah rugi RM2.4 bilion sehari, dan kini sekitar RM600 juta sehari. Tentu tidak ada mana-mana kerajaan di dunia yang dapat terus-terusan menghulurkan bantuan kepada rakyatnya, kecuali mungkin negara yang terlalu kaya.

Yang kita bimbangkan ialah sistem kesihatan kita lumpuh. Adakah jumlah katil di hospital kita mencukupi jika berlaku lonjakan kes secara mendadak? Adakah kakitangan kesihatan dan barisan hadapan kita dapat bertahan selepas bergelut dengan perjuangan selama setahun?

Ya, peningkatan kes pasti akan memberi tekanan yang dahsyat kepada kakitangan kesihatan dan hospital kita. Kalau keadaan terdesak, mampukah kita membina hospital dalam waktu singkat seperti yang berlaku di sesetengah negara, termasuk di China?
Betul, dunia sudah ada vaksin seperti Sinovac, Pfizer, Moderna dan AstraZeneca untuk melawan penularan dan jangkitan virus itu. Tetapi perlu diingat, vaksin itu mungkin akan memakan masa sebelum anda disuntik.

Lagipun, untuk sampai ke tahap kekebalan kelompok, sekurang-kurangnya 70 peratus rakyat perlu disuntik. Justeru, untuk sementara waktu, vaksin terbaik adalah dengan mengamalkan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan termasuk dari segi penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka.

Sekali lagi, kita perlu bersikap lebih bertanggungjawab. Ahli politik kita perlu lebih bertanggungjawab dengan memberi tumpuan tuntas kepada usaha menangani isu ini, bukannya bermain politik. Mereka juga perlu lebih bijaksana dengan tidak menghantar mesej yang salah kepada rakyat.

Tempoh darurat yang diisytiharkan untuk menangani pandemik ini dengan berkesan perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Sementara keadaan masih lagi tidak terlalu buruk dan teruk atau di luar kawalan, kita perlu segera bangkit.

Kita tidak boleh menyerah kalah dalam peperangan ini. Ini bukan masa untuk mengibarkan bendera putih. Hanya yang bacul dan lemah semangat dan tiada harga diri akan berbuat demikian. Ini bukan sekadar soal maruah tetapi soal hidup mati dan masa depan diri, keluarga dan negara.

Jadi, kita harus terus berjuang. Kita harus menang melawan musuh bersama ini. Kita perlu kenal diri dan kenal musuh kita ini. Bukankah ahli strategi perang China, Sun Tzu pernah berpesan, “kenali dirimu, kenali musuhmu. Seribu pertempuran, seribu kemenangan?”
Kita pasti akan menang dalam perang ini, termasuk melawan virus maut itu.

Ingat, semua perang ialah penipuan dan usaha memperdaya. Jangan kita mudah diperdaya dan dikalahkan oleh musuh yang satu ini.

Dr Jeniri Amir ialah Felo Kanan Majlis Profesor Negara.

Secara Rawak

Artikel Terbaru