KUCHING: Kementerian Kerja Raya terus memainkan peranannya sebagai pemacu dalam membangunkan kemudahan infrastruktur serta ejen perubahan, dalam industri pembinaan negara.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tindakan itu untuk memastikan strategi dalam mempertingkatkan keselamatan dan keselesaan infrastruktur yang dibangunkan untuk kemudahan rakyat tercapai.

“Mengimbas kembali pencapaian kita pada tahun lalu, kita berbangga dapat menyiapkan laluan Projek Central Spine Road Pakej 3 menghubungkan Kampung Relong, Lipis, Pahang ke Gua Musang, Kelantan khusus untuk kemudahan rakyat meskipun dalam menghadapi kekangan disebabkan pandemik Covid-19.

“Pembinaan lebuh raya ini memainkan peranan penting dan signifikan dalam merangsang pertumbuhan sosioekonomi setempat, selain melengkapkan rangkaian perhubungan jalan raya di negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Amanat Tahunan 2021 dan Pelancaran Strategik Organisasi Kementerian Kerja Raya 2021 hingga 2025 yang dijalankan secara maya baru-baru ini.

Selain menyediakan kemudahan infrastruktur jalan raya yang baharu, kementerian juga meneruskan usaha memastikan jalan Persekutuan sedia ada sentiasa dalam keadaan selesa dan selamat digunakan oleh pengguna.

Kata Fadillah, sebanyak 46 lokasi kerap berlaku kemalangan di seluruh negara dibaiki dan ditambah baik sepanjang tahun lalu. Difahamkan, usaha ini diteruskan sehingga pada tahuntahun yang akan datang melalui peruntukan yang diberikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

“Kebelakangan ini, isu jalan berlubang semakin mendapat perhatian masyarakat khususnya di media sosial.

“Dengan itu, kami melancarkan semula Program Aku Janji Zero Potholes pada 3 Julai 2020. Kerja penampalan jalan berlubang yang dilaksanakan dalam tempoh masa 24 jam (secara sementara) daripada penemuan ataupun aduan kerosakan untuk menangani isu ini,” katanya.

Bagi menunjukkan keprihatinan pihak kementerian dalam mengatasi isu jalan berlubang, sebuah pelan tindakan baharu iaitu Ke Arah Penyenggaraan Potholes Lebih Cekap juga diperkenalkan di dalam Pelan Strategik Organisasi Kementerian Kerja Raya Tahun 2021-2025.

“Pelan ini memfokuskan kepada usaha industri pembinaan dalam pemulihan semula ekonomi Malaysia ke arah merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” ujarnya lagi.

Sebanyak 52 projek baharu yang berimpak tinggi turut dirancang untuk dilaksanakan pada tahun ini khususnya projek lebuh raya bagi melengkapkan jaringan jalan raya di negara.

Kementerian juga menyiapkan Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya 2030 (HNDP 2030) yang merupakan sebuah dokumen yang komprehensif bagi mengenal pasti keperluan infrastruktur jalan pada masa hadapan, ke arah memastikan wujudnya jaringan perhubungan jalan raya yang baik untuk kemudahan rakyat di samping menyokong pembangunan sosioekonomi negara.

“Saya berharap agar semua pelan tindakan ini dapat memenuhi aspirasi rakyat yang ingin melihat Malaysia terus maju dan makmur, serta tahun 2021 akan menjadi titik permulaan kebangkitan semula ekonomi Malaysia,” ujarnya.