KUCHING: Tiga premis terdiri daripada kedai runcit dan kedai makan di sini dipotong bekalan elektrik hari ini, kerana disyaki terlibat dalam kegiatan perjudian haram.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata tindakan itu dibuat dalam Operasi Bersepadu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (BSJ IPD) Kuching bersama kakitangan Sarawak Energy Berhad (SEB) antara jam 9 hingga 12 tengah semalam.

“Operasi ini dibuat di premis-premis yang didapati menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, pemotongan bekalan elektrik itu dibuat mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Polis boleh membuat permintaan untuk pemotongan elektrik jika mempunyai alasan yang munasabah bahawa premis itu menjalankan sebarang aktviti perjudian,” katanya.

Justeru, Awang Din menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan sebarang aktiviti perjudian tanpa lesen.

Katanya mereka yang didapati terlibat akan diambil tindakan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pencegahan Jenayah 1959.

Awang Din berkata dalam tempoh tujuh hari dari 22 hingga 28 Januari ini, BSJ IPD Kuching telah berjaya membuat tujuh serbuan ke atas premis-premis perjudian di sekitar bandar raya ini, dengan lapan orang penjual judi dalam talian turut ditangkap.

Katanya siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukan denda RM5,000 hingga RM50,000 dan hukuman penjara hingga tiga tahun jika sabit kesalahan.

Beliau berkata kesemua suspek yang ditahan telah direman.