KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah  mengambil pendekatan proaktif dalam menangani masalah capaian Internet yang dihadapi penduduk di beberapa lokasi di seluruh negara.

Justeru, katanya dalam satu kenyataan,  masalah capaian Internet yang berlaku di lapan lokasi seperti Kg. Banggol Pak Esah di Pasir Puteh dan Kg. Siram, Kedai Tanjong, di Pasir Mas; Kg. Aring 5 Gua Musang; Kg. Kaum Asli Kemidak, di Bekok, Segamat; Pulau Aman; Kg. Labi di Beaufort; Kg. Panikuan di Kudat serta Kg. Waluhu di Ranau, telah diberi perhatian serius dan disusuli dengan tindakan oleh SKMM.

“Ini adalah langkah-langkah pihak SKMM untuk membantu dengan secepat mungkin kawasan yang terkesan selain daripada mempercepatkan perancangan yang sedia ada agar penduduk setempat dapat melaksanakan aktiviti seharian mereka dengan lancar,”  kata kenyataan itu.

Katanya, bagi sekumpulan pelajar sekolah dan mahasiswa di Kg. Kaum Asli Kemidak, Bekok, Segamat yang terpaksa mengikuti pembelajaran dalam talian di kebun sawit pula, masalah capaian Internet lemah bakal diatasi apabila sebuah menara telekomunikasi baharu akan dibina di kawasan terbabit.

“Menara telekomunikasi baharu berkenaan akan dilaksanakan di bawah Pelan Jendela Fasa 1 yang kini dalam proses tender. Untuk jangka masa pendek pendekatan penggunaan teknologi lain sedang diperincikan,” ujarnya.

Menurutnya, mengenai kisah sebahagian para pelajar sekolah yang terpaksa merayau sekitar pulau untuk mendapatkan capaian Internet di Pulau Aman telah diambil tindakan.

Katanya, kebagai langkah sementara, pihak Celcom telah mengalihkan satu sektor antena di menara telekomunikasi Bukit Batu Kawan untuk menghala ke kawasan aduan bagi meningkatkan kualiti liputan di sana.