KUCHING: Dewan Perniagaan dan Industri Orang Ulu  merakamkan terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana menubuhkan tiga agensi pembangunan yang memberi perhatian kepada pembangunan di kawasan masyarakat Orang Ulu.

Presidennya Datuk Mutang Tagal berkata, Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA)  yang meliputi kawasan Hulu Rajang termasuk Belaga ialah kawasan kediaman kaum Kayan, Kenyah dan Penan.

Manakala Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA), meliputi kawasan Baram tempat kediaman kaum Kayan, Kenyah, Kelabit, Berawean, Kiput, Penan, Lun Bawang dan Saban.

Katanya, Agensi Pembangunan Wilahay Utara (NRDA) pula, meliputi Limbang dan Lawas, tempat kediaman masyarakat Bisaya dan Lun Bawang.

Jelasnya, Ketua Menteri menyalurkan RM1.5 bilion masing-masingnya kepada agensi berkenaan bagi merancakkan pembangunan di kawasan terbabit.

“Apabila  prasarana asas disiapkan, Orang Ulu dapat membuka tanah mereka dan menerokai sektor pertanian. Kemudian mereka dapat membawa  hasil mereka terus ke pasar,” jelasnya dalam temu bual dengan SV.

Kata Mutang  lagi, kawasan Orang Ulu juga memerlukan sistem telekomunikasi yang baik, agar dengan akses Internet mereka dapat memasarkan produk pertanian mereka.

Beliau menjelaskan, aset yang dimiliki Orang Ulu ialah Tanah Adat Bumiputera (NCR).

“Jadi, mereka perlu memanfaatkan tanah berkenaan untuk pertanian dan menjana pendapatan daripadanya. Apabila  ada pendapatan, mereka dapat melabur dalam bidang lain,” katanya lagi.