BAU: Tindakan pantas penduduk melaporkan aktiviti mencurigakan kepada polis berjaya memberkas dua lelaki disyaki terlibat salah guna dadah semalam.

Serbuan sekitar jam 7.10 malam itu dilakukan oleh sepasukan anggota peronda polis Bau bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) susulan mendapat laporan berhubung kejadian.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata kedua-dua suspek yang juga warga tempatan masing-masing berusia 22 dan 33 tahun itu ditangkap sebelum pemeriksaan dilakukan terhadap mereka.

“Hasil pemeriksaan di kawasan tersebut menjumpai sekotak kecil mengandungi sepeket plastik lut sinar berisi ketulan jernih di syaki dadah jenis syabu (serbuk Methamphetamine) dianggarkan seberat 0.78 gram.

“Pasukan operasi seterusnya merampas barang tersebut untuk dijadikan barang kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya kedua-dua suspek bersama barang rampasan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau untuk tindakan lanjut.

Dedahnya hasil pemeriksaan saringan awal air kencing turut mengesahkan kedua-dua suspek positif dadah.

Selain itu katanya salah seorang daripada suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.

Ujarnya kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.