Tuesday, August 16, 2022

Covid-19 dan vaksin: Media dinasihati hati-hati beri tajuk berita

Secara Rawak

KUCHING: Ketua Pengarang media arus perdana  terutamanya dinasihati  berhati-hatilah pemilihan tajuk berita terutamanya berkaitan  Covid-19  dan vaksin, menurut Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi

“Jangan kerana mahu tarik perhatian pembaca, gunakan perkataan yang mengelirukan dan menakutkan rakyat secara yang negatif dan menggugat usaha kerajaan menangani penularan Covid-19,” kata Ahmad Amzad Hashim.

“Sebagai contohnya berita daripada Negara China mengenai kaedah swab dari dubur. Tajuk dibaca secara sekali imbas terus jadi viral dan ramai yang buat andaian kononnya kaedah itu di Malaysia,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, sedangkan berita asal dari China itu sendiri menyatakan China tidak bercadang menjadikan ia kaedah piawai.

“Pakar dari Malaysia telah menegaskan kaedah yang digunakan sekarang paling sesuai dan berkesan. Implikasi tajuk sebegini menakutkan orang untuk ke hospital,’ katanya.

“Begitu juga begitu banyak tajuk yang mengelirukan berkaitan vaksin. Ketika seorang ulamak tersohor dari UAE menjelaskan hukum vaksin antara lain menyebutkan ‘Dalam keadaan darurat, vaksin jika sekalipun mengandungi bahan najis seperti babi pun hukumnya dibolehkan’,’ katanya lagi.

“Lalu tajuk berita ditulis ‘Vaksin Covid-19 mengandungi babi hukumnya harus’. Habis jadi bahan percakapan bahawa dalam vaksin Covid-19 ada babi. Sedangkan yang sebenarnya ulamak itu menjelaskan hukum dalam keadaan darurat,” ujarnya.

“Realiti sebenarnya kebanyakan vaksin COVID-19 yang ada di dunia pada hari ini tiada unsur babi. Vaksin yang dipilih untuk digunakan di Malaysia tidak mengandungi sel haiwan langsung. Ini dijelaskan dalam keputusan Fatwa Muzakarah Fatwa Kebangsaan yang disembah maklumkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan selari fatwa yang serupa di seluruh dunia,”  kata Ahmad Amzad..

“Malah vaksin-vaksin yang menjadi pilihan Malaysia adalah dalam kelompok yang paling tinggi kadar keberkesanan atau efficacy dan paling banyak dipercayai di seluruh dunia berdasarkan lebih 80 juta dos yang telah disuntik kepada penduduk di lebih 57 negara seluruh dunia. Setiap hari lebih 3.6 juta dos disuntik di merata tempat. Cuma ada peratus yang kecil laporan kes terpencil yang akhirnya ternyata tiada perkaitan langsung dengan kesan vaksin. Tetapi, kerana pelaporan yang mengelirukan, masyarakat jadi waswas dan takut,”  katanya lagi..

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru