PADAWAN: Seorang pengedar dadah terpaksa menyerahkan 21 paket syabu seberat 16.15 gram yang dimilikinya kepada polis, ketika ditahan di hadapan sebuah kedai di Kota Sentosa, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata lelaki berusia 28 tahun dari Indonesia itu ditahan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (BSJN IPD) Padawan sekitar jam 12.30 tengah hari.

Katanya semasa ditahan, suspek sedang duduk di dalam kereta Perodua Axia dipandunya, yang diparkir di hadapan Tung Yang Trading.

“Semasa serbuan dibuat, pintu kereta dalam keadan berkunci namun telah dibuka sendiri oleh suspek setelah pintu kereta diketuk beberapa kali oleh anggota serbuan.

“Setelah diberi amaran, suspek dengan sendirinya mengeluarkan satu bungkusan plastik mengandungi 21 paket syabu yang disimpan di dalam beg sandangnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Aidil berkata pemeriksaan ke atas badan dan kereta suspek tidak menjumpai apa-apa barang salah, dan ujian air kencing turut mendapatinya negatif dadah.

Katanya hasil soal siasat, suspek memberitahu mengambil bekalan dadah itu daripada seseorang yang dikenali dengan nama Tokey secara transaksi bank.

“Kali terakhir dia mengambil dadah pada waktu pagi di tepi jalan di BDC,” katanya sambil menambah usaha mendapatkan maklumat lanjut daripada suspek dan mengesan dari mana bekalan dadah sedang diusahakan.

Katanya suspek bersama dadah dianggarkan bernilai RM1,950 itu telah dibawa ke pejabat BSJN IPD Padawan untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.