KUCHING: Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak berkata dalam tempoh tujuh tahun, dari tahun 2014 hingga 2020, sebanyak 556 remaja hamil ditempatkan di Taman Seri Puteri.

Menurut  Datuk Seri Fatimah Abdullah daripada jumlah berkenaan, 24 orang merupakan remaja di bawah 16 tahun.

Katanya, berdasarkan angka dikeluarkan Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-kanak PDRM Sarawak, terdapat 41 kes pembuangan bayi atau janin direkodkan dalam tempoh  berkenaan.

Dalam satu sidang media di sini hari ini, beliau menjelaskan isu pembuangan bayi bukan mudah ditangani.

Jelasnya, antara faktor penyumbang ialah didikan agama, sistem sokongan, pembabitan remaja dalam  tingkah laku berisiko dan jenayah seksual.

Pembuangan bayi berlaku disebabkan kurangnya sokongan emosi daripada keluarga, rasa malu dan  stigma terhadap kejadian kehamilan di luar perkahwinan.

Taman Puteri dan kemudahan ‘baby hatch, katanya, bukan  bertujuan untuk menggalakkan kes kehamilan di luar nikah, sebaliknya sebagai perlindungan bagi remaja dan kanak-kanak yang teraniaya ekoran kehamilan luar nikah dan ancaman seksual.