KUCHING: Sarawak hari ini mencatatkan kes positif Covid-19 dua kali ganda berbanding semalam dengan 171 kes jangkitan baharu dan satu kes kematian di Sibu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, daripada jumlah tersebut 77 kes dikesan di Sibu, Miri (43), Dalat (25), Bintulu (12), Kuching (10), Betong (2), Kapit (1) dan Lundu (1) menjadikan keseluruhan 3,945 kes positif di Sarawak.

Mengenai kes kematian ke-35 itu, JPBNS berkata ia melibatkan warga emas wanita berusia 79 tahun dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Sibu pada 13 Januari lalu kerana mengalami simptom demam.

“Saringan ujian rT-PCR yang dilaksanakan mendapati kes positif Covid-19 selain mempunyai ko-morbid seperti penyakit
darah tinggi dan dementia, kes disahkan meninggal dunia pada 27 Januari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, Kluster Pasai, Sibu terus menjadi penyumbang kes positif di negeri ini dengan pertambahan 74 kes hari ini.

“Sementara Kluster Rakut (Miri) merekodkan tujuh pertambahan kes, Kluster Riang Indah (Kuching) empat kes baharu, manakala tujuh kluster aktif yang lain tidak mencatatkan sebarang pertambahan kes,” ujar JPBNS.