BAU: Seorang remaja antara empat penganggur yang ditahan selepas didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata kesemua lelaki berusia 18, 21, 22 dan 30 tahun itu berasal dari Kampung Sebobok, di sini.

Katanya, mereka ditahan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (BSJN IPD) Bau yang menjalankan Op Tapis sekitar jam 3.30 petang semalam, di tepi jalan Kampung Sebobok.

“Pasukan BSJN IPD Bau telah menahan lima lelaki yang berada di kawasan tersebut, namun pemeriksaan tubuh badan mereka tidak menemukan sebarang jenis dadah.

“Mereka kemudian dibawa ke pejabat BSJN IPD Bau untuk saringan air kencing dan hasil ujian mendapati empat daripada mereka positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine sementara seorang dibebaskan kerana negatif dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Poge berkata kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta dadah Berbahaya 1952.

Justeru, beliau menasihati ibu bapa agar memantau pergerakan anak-anak mereka, dan masyarakat setempat juga boleh berperanan membantu dalam membanteras gejala sosial dadah.

Beliau turut menegaskan bahawa BSJN IPD Bau akan berterusan mengekang kegiatan penyalahgunaan dadah menerusi tangkapan dan pemeriksaan di tempat-tempat yang disyaki adanya aktiviti berkenaan.